LOS ANGELES, 11 Januari- Penduduk California menuntut penjelasan berhubung punca kemusnahan besar akibat kebakaran hutan yang sedang marak di Los Angeles, ketika perintah berkurung mula dikuatkuasakan bagi mengelakkan kejadian rompakan dan pelanggaran undang-undang.
Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban dan ribuan rumah musnah dalam bencana yang disifatkan oleh Presiden AS Joe Biden sebagai 'medan peperangan'.
Ketika penduduk Los Angeles bergelut dengan kemusnahan yang memilukan, kemarahan semakin memuncak terhadap tahap kesiapsiagaan dan tindakan pihak berkuasa, terutama berikutan amaran pemindahan palsu dan kejadian paip bomba kehabisan air semasa anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.
Gabenor Gavin Newsom mengarahkan satu kajian menyeluruh terhadap syarikat utiliti bandar itu. Beliau menyifatkan kekurangan bekalan air ketika kebakaran bermula sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.
"Kita perlukan jawapan bagaimana perkara ini boleh berlaku," tulisnya dalam satu surat terbuka.
Penduduk seperti Nicole Perri, kediamannya di kawasan mewah Pacific Palisades musnah terbakar, memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa sangat mengecewakan.
"Mereka biarkan kami, orang biasa, hangus terbakar," tambah Nicholas Norman dari Altadena.
Kebakaran yang kembali marak pada lewat Jumaat memaksa pemindahan di kawasan kejiranan mewah di sebelah timur termasuk kawasan terkenal Getty Center.
Dibina dengan kos AS$1 bilion dan menggunakan sebahagian bahan batu tahan api 'travertine', muzium terkenal itu menempatkan 125,000 karya seni.
Sementara itu, kebimbangan terhadap kejadian rompakan meningkat dan perintah berkurung dari waktu malam hingga subuh dikuatkuasakan.
Lebih 20 tangkapan telah dibuat di seluruh Los Angeles, dengan sebilangan penduduk melaksanakan rondaan dan berkawal di rumah mereka sendiri.
"Jika kami dapati anda berada di kawasan ini, anda akan ditahan," kata Ketua Polis Los Angeles, Jim McDonnell.
"Pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda AS$1,000" katanya.
Pasukan Pengawal Kebangsaan (National Guard) turut dikerahkan untuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang.-AFP