fb fb fb fb fb

Kebakaran bar di Switzerland: Bunga api disyaki punca

Pintu masuk bar Le Constellation di pusat peranginan ski Crans-Montana, Switzerland, yang musnah dalam kebakaran semasa sambutan Tahun Baharu, mengorbankan kira-kira 40 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain, pada 2 Januari 2026/Foto AFP

GENEVA, 3 Januari - Kebakaran maut yang memusnahkan sebuah bar di pusat peranginan pergunungan Alps, Switzerland semasa sambutan Tahun Baharu sehingga mengorbankan 40 nyawa, berkemungkinan besar berpunca daripada bunga api yang diletakkan pada botol minuman keras dan berada terlalu dekat dengan siling, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketua Peguam Daerah Valais, Beatrice Pilloud berkata penyiasat membuat kesimpulan itu selepas menilai rakaman video, menemu bual beberapa saksi serta mengumpul bukti awal daripada Bar Le Constellation di pusat peranginan ski Crans-Montana.

Kebakaran itu berlaku sejurus selepas tengah malam pada hari pertama Tahun Baharu.

Kenyataan saksi diperoleh daripada pengurus bar warga Perancis serta tetamu yang berjaya menyelamatkan diri.

Komander Polis Valais, Frédéric Gisler mengesahkan pada Jumaat bahawa 40 orang maut akibat kebakaran itu, manakala seramai 119 orang telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan.

Anggaran awal sebelum ini melaporkan 115 orang cedera dalam insiden itu.

Gisler berkata 113 daripada mangsa yang cedera telah dikenal pasti, antaranya 71 warga Switzerland, 14 warga Perancis, 11 warga Itali dan empat warga Serbia.

"Kami sedang menyiasat sama ada prosiding jenayah bagi kesalahan membunuh tanpa niat akibat kecuaian akan dimulakan," kata Pilloud.

Tindakan itu akan diambil sekiranya individu yang bertanggungjawab terhadap tragedi berkenaan masih hidup. - BERNAMA-dpa

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD