fb fb fb fb fb

Sepanyol sifatkan situasi Gaza sebagai malapetaka

Sejak Oktober 2023, lebih 71,000 orang sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak maut di Gaza/Foto Reuters

LONDON, 3 Januari - Menteri Luar Sepanyol pada Jumaat melihat situasi kemanusiaan di Gaza umpama satu "malapetaka" dan menzahirkan sokongan terhadap keamanan di wilayah itu, selain menggesa keganasan di Tebing Barat yang diduduki dihentikan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu perbualan telefon dengan Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa, Jose Manuel Albares berkata beliau menyampaikan sokongan penuh Sepanyol terhadap keamanan muktamad di Gaza dan pengakhiran keganasan di Tebing Barat.

"Sepanyol akan terus bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Palestin bagi mengekalkan daya maju kewangan dan pelan reformasinya," katanya menerusi platform X, sambil menggesa Israel supaya memindahkan hasil cukai Palestin.

Menurut Kementerian Kewangan Palestin, Israel telah menahan hampir US$2 bilion hasil cukai Palestin sejak 2019, yang disifatkan sebagai "pencabulan terang-terangan" terhadap semua perjanjian yang telah ditandatangani.

Albares juga berkata pembesaran penempatan haram mesti dihentikan memandangkan tahun 2025 melabuhkan tirainya sebagai tahun rekod bagi peluasan penempatan di Tebing Barat, dengan gabungan sayap kanan Israel meluluskan jumlah penempatan dan projek perumahan baharu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Awal minggu ini, Israel meluluskan pembinaan 126 rumah peneroka di pos penempatan Sa-Nur di utara Tebing Barat, yang sebelum ini dikosongkan pada 2005 di bawah pelan pengunduran sepihak.

"Situasi kemanusiaan di Gaza adalah satu bencana. Sekatan terhadap NGO adalah tidak boleh diterima dan memburukkan lagi keadaan," kata Menteri Luar Sepanyol itu, sambil menegaskan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk agensi bantuan untuk pelarian Palestin (UNRWA), mesti dibenarkan beroperasi secara bebas di Gaza dan Tebing Barat.

"Kami akan mengambil bahagian dalam usaha pembinaan semula supaya penduduk Gaza mempunyai masa depan di tanah air mereka sendiri," katanya.

Lebih 71,000 orang, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak maut di Gaza sejak serangan Israel pada Oktober 2023, selain memusnahkan enklaf berkenaan. Gencatan senjata telah berkuat kuasa pada Oktober 2025, namun pelanggaran oleh pihak Israel dilaporkan masih berterusan. - BERNAMA-ANADOLU

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD