fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Los Angeles terburuk dalam sejarah California

Foto AFP

WASHINGTON, 10 Januari- Kebakaran hutan yang melanda Los Angeles, adalah yang terburuk dalam sejarah California.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata penduduk di kawasan itu sedang melalui mimpi ngeri dan mengangkat pemadam kebakaran yang disifatkannya sebagai wira kerana mereka berlari ke dalam api untuk memadam kebakaran tersebut.

"Ini adalah kebakaran yang terbesar dan memusnahkan dalam sejarah California," kata Biden semasa mengadakan Mesyuarat Khas dengan pegawai kanan pentadbiran di White House.

Beliau turut membatalkan lawatan ke Rom yang dijadualkan pada Khamis untuk kekal di Washington dan menyelaras tindakan Kerajaan AS terhadap kebakaran yang telah meragut sekurang-kurangnya lima nyawa itu.

Biden berkata kerajaan persekutuan akan menampung sepenuhnya kos berkaitan bencana untuk 180 hari pertama atas permintaan Gabenor Demokrat California, Gavin Newsom.

Beliau berkata seramai 400 anggota bomba persekutuan dan 30 pesawat serta helikopter pemadam kebakaran akan dihantar ke Los Angeles, manakala Pentagon akan menghantar lapan pesawat besar dan 500 kakitangan pembersihan kebakaran.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan yang disebarkan oleh bakal presiden Donald Trump, bahawa terdapat kekurangan air yang menyebabkan kebakaran sukar dikawal.

Katanya, masalah tersebut berpunca daripada gangguan bekalan elektrik selepas syarikat utiliti memutuskan bekalan elektrik kerana bimbang bahawa talian kuasa yang rosak boleh mencetuskan lebih banyak kebakaran yang menyebabkan pam air tidak berfungsi.

Trump yang akan mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada 20 Januari, telah menggunakan insiden kebakaran ini untuk melancarkan serangan politik terhadap Biden dan Newsom.-AFP

ROSLINA BINTI DIN