Di sebalik kepayahan, besarnya ganjaran penghujung Ramadan

Gambar hiasan janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Allah meletakkan Lailatul Qadar pada penghujung Ramadan untuk memberi dorongan meneruskan ibadah ketika semangat menurun.
  • Al-Quran menjanjikan bahawa bersama kesulitan terdapat kemudahan; keletihan sering disertai rahmat dan ganjaran Tuhan.
  • Keletihan bukan tanda kegagalan tetapi bukti perjuangan; terus berusaha walau lemah kerana usaha menentukan pahala.
  • Jangan menunggu kesempurnaan; terus melangkah dalam memperbaiki diri sehingga akhir kerana rahmat Allah sentiasa menunggu.

Pada penghujung Ramadan, ada satu perasaan yang sering kita alami tetapi jarang berani kita sebut secara jujur, iaitu rasa penat. Setelah hampir sebulan berpuasa, tubuh mula terasa lemah kerana rutin harian yang berubah, waktu tidur berkurang dan tenaga tidak lagi sekuat pada awal bulan.

Namun dalam keletihan itu, kita masih berusaha mengejar sepuluh malam terakhir Ramadan kerana kita tahu di situlah terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu malam Lailatul Qadar.

Menariknya, Allah meletakkan Lailatul Qadar bukan pada awal Ramadan, tetapi pada penghujungnya. Dari sudut tadabbur, hal ini bukan sekadar susunan waktu. Ia membawa makna yang sangat mendalam tentang sifat manusia dan cara Allah mendidik jiwa kita.

Allah amat mengetahui bahawa manusia mempunyai batas kemampuan. Hal ini kerana Dialah yang menciptakan manusia. Semangat biasanya kuat pada awal perjalanan, tetapi semakin lama perjalanan itu berlangsung, semakin terasa ujian dan keletihannya.

Oleh itu, ketika manusia mula berasa letih, di situlah Allah meletakkan ganjaran yang paling besar, seolah-olah memberi dorongan baharu agar kita tidak berhenti di tengah jalan.

Al-Quran mengingatkan: Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah al-Insyirah, 94:6). Ayat ini bukan sekadar janji bahawa kesusahan akan berakhir, tetapi juga isyarat bahawa dalam setiap keletihan terdapat rahmat yang sedang menunggu.

Kadangkala rahmat itu hadir dalam bentuk ganjaran, dan kadangkala dalam bentuk kekuatan hati untuk terus bertahan.

Jika direnungkan, kehidupan juga berjalan dengan pola yang hampir sama seperti Ramadan. Kita biasanya memulakan sesuatu dengan semangat, sama ada dalam pekerjaan, perniagaan, perkahwinan, perjuangan mendidik anak atau usaha memperbaiki diri.

Namun setelah melalui pelbagai cabaran, semangat itu perlahan-lahan diuji oleh keletihan, kekecewaan dan tekanan. Pada saat itulah ramai yang berhenti.

Bukan kerana mereka tidak mampu, tetapi kerana sudah terlalu letih untuk meneruskan. Di sinilah Ramadan sebenarnya mendidik kita tentang makna ketahanan jiwa. Ia mengajar bahawa keletihan bukan tanda kegagalan. Sebaliknya, keletihan merupakan tanda bahawa kita sedang berjuang.

Allah juga berfirman: Dan bahawa manusia tidak memperoleh selain apa yang diusahakannya.” (Surah al-Najm, 53:39). Ayat ini menegaskan satu prinsip kehidupan yang sangat penting, iaitu nilai sesuatu perjuangan bukan diukur pada betapa mudahnya perjalanan itu, tetapi pada kesungguhan kita untuk terus berusaha walaupun terasa berat.

Oleh itu, dalam perjalanan memperbaiki diri, kita tidak perlu menunggu untuk menjadi sempurna. Kita hanya perlu terus melangkah, tidak kira dalam apa jua keadaan sama ada pada hari kita berasa kuat ataupun pada hari kita lemah dan hampir berputus asa. Selagi kita tidak berhenti, perjuangan itu masih hidup.

Dalam bahasa yang lebih sederhana, jangan berhenti kerana penat. Berhentilah hanya apabila kita telah selesai.

Namun hakikatnya, perjalanan memperbaiki diri sebenarnya tidak pernah benar-benar selesai sehinggalah kita menutup mata buat kali terakhir. Ramadan sedang mengajar kita satu pelajaran yang sangat besar.

Manusia mungkin akan penat, tetapi rahmat Allah tidak pernah terhenti dan sentiasa menunggu kita untuk kembali.

Apa yang boleh kita renungkan, mungkin kerana itulah juga antara hikmahnya Allah meletakkan malam yang paling agung pada penghujung Ramadan. Ia menjadi bukti bahawa Allah mengetahui kita sedang penat.

Namun kita perlu tetap meneruskannya kerana ganjarannya sangat besar.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nur Shahidah Pa’ad
Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Dakwah
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya (UM)
E-mel: shaaz2301@um.edu.my