
SEBERANG JAYA, 23 Oktober – Generasi muda perlu memupuk budaya membaca, termasuk membiasakan diri membaca buku dan kitab lama, bagi melahirkan masyarakat berpengetahuan.
- Kebimbangan terhadap generasi yang lebih gemar membaca melalui skrin berbanding bahan bercetak.
- Buku dan kitab lama tetap sumber ilmu penting membentuk individu berpengetahuan dan berwawasan.
- Ibu bapa perlu mendidik anak sejak kecil supaya tidak meminggirkan buku fizikal sebagai sumber pemikiran.
Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr Zurinah Hassan, berkata trend generasi muda yang lebih gemar membaca menerusi skrin telefon bimbit dan gajet berteknologi tinggi berbanding bahan bacaan bercetak menimbulkan kebimbangan.
Beliau berkata buku dan kitab lama turut menjadi sumber ilmu yang penting dalam membentuk individu berpengetahuan dan berwawasan.
“Sebenarnya, perkara itu merisaukan juga kerana membaca tidak seharusnya bergantung kepada semua sumber digital sahaja.
“Saya berharap anak-anak dan cucu-cucu kita terus membaca buku serta kitab lama kerana semuanya merupakan sumber pengetahuan yang dapat membentuk kita menjadi insan berilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menghadiri Program Minda Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Perpustakaan Awam Pulau Pinang, di sini.
Beliau berkata ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya tidak meminggirkan amalan membaca buku ilmiah secara fizikal, meskipun penggunaan teknologi digital semakin meluas dalam kehidupan seharian.
Usaha memupuk minat membaca sejak kecil penting bagi memastikan generasi muda terus menghargai bahan bacaan sebagai sumber ilmu dan pembentukan pemikiran.