BANGKOK, 10 September - Mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang wartawan yang menulis mengenai isu rasuah, hak tanah dan alam sekitar.
Nguyen Vu Binh merupakan seorang aktivis politik yang menjalani hukuman penjara hampir lima tahun pada awal 2000-an dituduh menghasilkan propaganda terhadap negara itu.
Vietnam tidak mempunyai kebebasan media dan mengekang sebarang perbezaan pendapat dan iadalah penjara wartawan ketiga terbesar di dunia, menurut kumpulan kempen kebebasan akhbar Reporters Without Borders (RSF).
"Dia dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun," kata kakaknya Nguyen Thi Phong kepada AFP selepas perbicaraan di Hanoi.
"Dalam perbicaraan, dia memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bersalah. Dia berkata dia menggunakan haknya untuk kebebasan bersuara."
Penganalisis berkata pihak berkuasa di Vietnam telah meningkatkan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Nguyen Vu Binh tanpa jemu berkempen untuk hak asasi manusia dan demokrasi di Vietnam," kata
Pengarah bBersekutu Asia di Human Rights Watch (HRW) Patricia Gossman sebelum hukuman itu djatuhkan.
"Ungkapan aman tentang perbezaan pendapat politiknya bukanlah satu jenayah," tambah Gossman.
Binh, 55, telah ditangkap pada akhir Februari pada hari sama Nguyen Chi Tuyen, seorang YouTuber berpengaruh dan juru kempen yang bercakap mengenai pencemaran dan hak tanah.
Bulan lalu, Tuyen didapati bersalah kerana 'membuat, menyimpan dan menyebarkan maklumat, dokumen dan bahan terhadap Republik Sosialis Vietnam' dan dipenjarakan selama lima tahun.
Binh telah menghabiskan sedekad sebagai wartawan di jurnal rasmi Parti Komunis Vietnam.
Beliau meletak jawatan pada akhir tahun 2000 dan cuba menubuhkan parti politik bebas.
Dia dipenjarakan antara akhir 2003 dan Jun 2007.
Selepas dibebaskan, Binh menulis blog untuk Radio Free Asia, menulis tentang rasuah, hak tanah, alam sekitar dan hubungan Vietnam dengan China dan Amerika Syarikat.
Binh dua kali menerima geran Hellman/Hammett.
Pada Ogos dan September, pihak berkuasa Vietnam mensabitkan dan menjatuhkan hukuman sekurang-kurangnya tujuh pejuang hak asasi manusia atas alasan yang sama, menurut HRW.
Pada masa ini terdapat 175 aktivis di penjara di negara itu, menurut The 88 Project sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang memfokuskan Vietnam.
Vietnam berada di kedudukan ke-174 daripada 180 negara dalam indeks kebebasan akhbar dunia RSF.
Kerajaan juga telah melancarkan tindakan keras lebih meluas terhadap rasuah dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan ramai pegawai dan pemimpin perniagaan dipecat atau dipenjarakan setelah disabit bersalah. - AFP