fb fb fb fb fb

UNESCO bincang ancaman terhadap warisan budaya

(Kota Teotihuacan Pra-Hispanik/Google)

BANDARAYA MEXICO, 28 September- Akses tidak sama rata kepada teknologi baharu, pemerdagangan haram dan ancaman lain terhadap warisan budaya adalah antara isu yang disenarai dalam agenda mesyuarat menteri kebudayaan antarabangsa di Mexico.

Wakil sekitar 190 negara anggota UNESCO akan mengambil bahagian dalam Persidangan Dunia mengenai Dasar Kebudayaan dan Pembangunan Mampan selama tiga hari di Mexico City bermula hari ini.

Pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawa budaya adalah penting untuk kesihatan awam, menurut penyelaras persidangan Pablo Raphael.

"Tiada siapa yang akan dapat bertahan dalam kurungan dan tekanan tanpa buku, muzik dan filem," katanya.

Tetapi krisis kesihatan juga mendedahkan ketidaksamaan teknologi antara komuniti yang berbeza, kata Menteri Kebudayaan Mexico Alejandra Frausto kepada AFP.

(Menteri Kebudayaan Mexico, Alejandra Frausto/AFP)

Salah satu objektif mesyuarat itu ialah mencari cara menjamin akses artis kepada teknologi untuk berkongsi karya mereka.

Deklarasi akhir dijangka menyertakan seruan untuk mengiktiraf budaya sebagai "kebaikan awam global" yang memberi manfaat kepada semua warga dunia.

Matlamatnya juga ialah memasukkan "objektif munasabah" dari segi budaya dalam matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu, kata Frausto.

Dua isu yang dimuatkan dalam agenda iaitu mempertahankan harta intelek masyarakat dan pengembalian harta budaya amat menarik minat Mexico dan negara Amerika Latin yang lain.

Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador telah mengkritik lelongan asing barangan yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya negara lain sebagai "tidak bermoral."

Sejak 2019, Mexico telah berjaya mendapatkan beribu-ribu keping arkeologi pra-Hispanik dari luar negara yang berada dalam koleksi peribadi atau bersedia untuk dilelong.

Ada yang diserahkan secara sukarela manakala yang lain, seperti barangan di Itali, ditemukan dalam serbuan polis.

Mexico juga kerap mengecam apa yang dipanggil plagiarisme oleh rumah fesyen asing mengenai motif, sulaman dan warna masyarakat Orang Aslinya.

Negara Amerika Latin itu telah membuat aduan mengenai dakwaan pelanggaran harta intelek terhadap jenama pakaian utama termasuk Zara dan Mango pada masa lalu.- AFP

(Logo UNESCO)

Media Baharu