fb fb fb fb fb

Turkiye siasat kes bunuh aktivis AS-Turkiye

Foto AFP

ANKARA, 12 September- Turkiye sedang menyiasat kes pembunuhan seorang aktivis Amerika Syarikat (AS) -Turkiye semasa protes di Tebing Barat.

Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc berkata Ankara akan membawa kes itu ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak siasatan bebas berhubung kematian Aysenur Ezgi Eygi.

"Kami akan berusaha untuk memastikan Special Rapporteur on Extrajudicial and Arbitrary Executions mengambil tindakan segera dan suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan serta menyediakan laporan," katanya.

Beliau berkata laporan itu akan dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Kami akan terus mempertahankan hak saudara perempuan kami Aysenur dan saudara Palestin kami,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telah berikrar untuk memastikan bahawa kematian Aysenur Ezgi tidak terlepas daripada hukuman.

Kementerian Luar Turkiye berkata prosedur rasmi bagi pemindahan mayat itu telah dimuktamadkan menerusi kedutaannya di Tel Aviv dan konsulat di Baitulmaqdis.

“Mayatnya akan tiba di Turkiye esok. Kami sekali lagi mengutuk pembunuhan ini yang dilakukan oleh kerajaan Netanyahu.

Keluarga Eygi masih menunggu jenazahnya tiba dan berharap untuk mengebumikannya di bandar barat daya Didim pada hari Jumaat.

"Ia menyedihkan tetapi ia juga menjadi kebanggaan buat Didim," kata bapa saudara Eygi, Ali Tikkim, 67, pada Rabu lalu.

"Adalah penting bahawa seorang gadis muda yang sensitif kepada dunia dikebumikan di sini.

Aysenur Ezgi Eygi, 26, ditembak mati minggu lalu ketika demonstrasi menentang petempatan Israel di bandar Beita, Tebing Barat.

Petempatan itu adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa, namun disokong oleh anggota sayap kanan kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Pihak PBB mendakwa tentera Israel menembak Eygi di kepala. Tentera Israel telah mengakui melepaskan tembakan di kawasan itu dan sedang meneliti kes tersebut.-AFP

 

ROSLINA BINTI DIN