Langgar MoU : Iran beri amaran sedia lancar strategi baharu

Iran sedia teruskan operasi ketenteraan / Foto AFP

TEHRAN, 23 Julai – Iran memberi amaran sedia melaksanakan strategi baharu sekiranya Amerika Syarikat (AS) terus melancarkan serangan infrastruktur di selatan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Angkatan bersenjata Iran melancarkan serangan balas, mengisytiharkan perang masuk fasa baharu setelah Washington didakwa melanggar memorandum persefahaman.
  • Operasi ketenteraan Iran berterusan selagi Pentagon menyasarkan infrastruktur dan kawasan pesisir, menurut kenyataan tentera.
  • IRGC tuntut kawal Selat Hormuz, mengumumkan penutupan dan larangan kapal tangki tanpa penyelarasan; sebahagian kapal dikatakan meletup atau berpatah balik.

Jurucakap Tentera Iran menegaskan tindakan berkenaan akan diambil bagi memastikan pasukan penceroboh tidak dapat meneruskan peperangan.

“Perang kini memasuki fasa baharu susulan tindakan Washington yang melanggar memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak.

“Angkatan bersenjata Iran sedang melaksanakan serangan balas sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Amerika,”menurut kenyataan.

Dalam masa sama, dimaklumkan operasi ketenteraan akan diteruskan selagi Pentagon terus menyasarkan infrastruktur dan kawasan pesisir Iran.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa sebuah daripada tiga kapal tangki meletup dan terbakar ketika cuba melalui laluan yang didakwa dipenuhi periuk api di selatan Selat Hormuz.

Dalam kenyataannya, IRGC berkata dua lagi kapal tangki berkenaan berjaya berpatah balik.

Tentera Laut IRGC turut mendakwa Selat Hormuz yang kini berada di bawah kawalannya, ditutup sepenuhnya selagi tindakan ketenteraan Amerika Syarikat berterusan.

IRGC memberi amaran tiada kapal tangki minyak dibenarkan memasuki atau meninggalkan selat itu tanpa penyelarasan dengan pihaknya.

IRGC turut mendakwa infrastruktur minyak, gas, elektrik serta ekonomi di rantau berkenaan akan menjadi sasaran sekiranya konflik terus memuncak.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.