SIESTA KEY, 12 Oktober- Taufan Milton yang melanda Florida, Amerika Syarikat telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa setakat ini, dengan jutaan penduduk masih terputus bekalan elektrik.
Menurut pegawai tempatan, enam kematian dilaporkan di St. Lucie County diikuti Volusia County (empat), Pinellas County (dua) serta masing-masing satu di Hillsborough, Polk, Orange dan Citrus County.
Lebih dua juta isi rumah dan perniagaan juga dilaporkan terputus bekalan elektrik, sementara beberapa kawasan masih dilanda banjir.
Gabenor Florida Ron DeSantis memberi amaran bahawa paras air masih terus meningkat di beberapa lokasi.
Presiden Joe Biden dalam taklimat di White House menganggarkan kerugian akibat Milton sekitar AS$50 bilion (kira-kira RM237.5 bilion) dan menyeru Kongres untuk mempercepatkan bantuan kepada komuniti terjejas. -AFP
BERITA BERKAITAN