VIENTIANE, 12 Oktober- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengutuk serangan Israel berhampiran ibu pejabat Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) pada sidang media semasa Sidang Kemuncak ASEAN di sini semalam.
"Saya mengutuk dengan tegas tindakan menembak premis PBB yang mencederakan dua anggota pasukan pengaman, yang merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata Guterres.
"Pasukan pengaman mesti dilindungi oleh semua pihak dalam konflik ini," sambungnya. "Terdapat reaksi daripada pelbagai pihak sebagai tanda solidariti dengan anggota pasukan pengaman yang cedera, serta memberi amaran kepada Israel bahawa insiden ini tidak boleh diterima dan tidak boleh diulang."
Guterres juga menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik untuk menunjukkan 'pengendalian maksimum' selepas insiden tersebut.
"Kita tidak mampu menghadapi konfrontasi global di rantau ini yang akan memberi impak negatif kepada situasi ekonomi dan politik di seluruh dunia," tambahnya.
PBB melaporkan ibu pejabat UNIFIL di Naqoura diserang pada Khamis lalu, yang mana dua anggota pasukan pengaman telah dimasukkan ke hospital, tetapi kecederaan dialami tidak serius.
Dalam ucapannya, Guterres menyatakan kerjasama ASEAN-PBB "tidak pernah sekuat ini" dan beliau berhasrat untuk "memperkukuh kerjasama itu lebih lanjut" semasa menghadiri sidang kemuncak.
"ASEAN adalah pembina jambatan dan penghubung untuk keamanan -- keamanan yang amat diperlukan ketika kita menyaksikan penderitaan besar di Gaza, kini merebak ke Lubnan dan tidak melupakan Ukraine, Sudan, Myanmar dan banyak lagi," tambahnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang dan mesyuarat berkaitan berlangsung di Vientiane, Laos dari 6 hingga 11 Oktober.
Pemimpin dan wakil daripada 10 negara anggota ASEAN -- Laos, Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam -- telah membincangkan isu-isu serantau dan global serta mengadakan acara berasingan dengan rakan negara lain termasuk China, Rusia, Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat.
Pada akhir sidang semalam, Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN untuk tahun 2025. -VIORY