TAMPA, 9 Oktober- Taufan Milton kategori 5 dijangka bergerak ke arah Pantai Teluk Florida, ia sekali gus mencetuskan kesesakan lalu lintas dan kekurangan bahan bakar menyukarkan pergerakan penduduk.
Perkara itu disebabkan pegawai mengarahkan lebih daripada 1 juta orang untuk menyelamatkan diri sebelum Taufan Milton melanda Tampa Bay.
Taufan berkenaan dijangka melanda pantai barat Florida pada Rabu atau Khamis. Ketika ini penduduk di kawasan itu masih terjejas berikutan Taufan Helene yang melanda kurang dua minggu lalu.
Datuk Bandar Tampa, Jane Castor, memberi amaran kepada orang ramai supaya berpindah agar tidak menjadi mangsa kepada taufan itu. "Sekiranya anda memilih untuk tinggal di salah satu kawasan pemindahan, ia akan meragut nyawa," kata Castor.
Menurut Pusat Taufan Nasional Amerika Syarikat taufan Milton mempunyai kelajuan angin maksimum kira-kira 165 mph (270 kph).
Pada pukul 7.00 malam waktu tempatan pusat taufan berada 440 batu (710 kilometer) barat daya Tampa, bergerak ke timur-northeast pada 10 mph (17 kph).
"Taufan Milton dijangka akan melanda banyak kawasan ketika ia menghampiri Florida. Malah, ramalan rasmi menunjukkan taufan dan angin badai tropika hampir dua kali ganda saiznya menjelang saat ia mendarat," katanya.
Saiz taufan lebih besar juga akan membawa risiko banjir air laut ke ratusan batu (kilometer) garis pantai. Di utara dan selatan Tampa Bay banjir setinggi 10 hingga 15 kaki (tiga hingga 4.5 meter) direkodkan selain angin kuat dan risiko banjir kilat berikutan hujan lebat.
Sekitar 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat berada di laluan langsung Taufan Milton, tulis Ketua Ekonomi Amerika Syarikat di Oxford Economics Ryan Sweet pada Selasa.
Syarikat penerbangan, firma tenaga dan sebuah taman tema Universal Studios mula menghentikan operasi di Florida sebagai persediaan menghadapi taufan berkenaan.
Pakar meteorologi dengan syarikat ramalan komersial AccuWeather, Isaac Longley berkata, taufan Helene memusnahkan kawasan Tampa Bay.
Sementara itu Gabenor Florida Ron DeSantis mengerahkan seramai 5,000 anggota Pengawal Kebangsaan, dengan 3,000 lagi sebagai persediaan untuk membantu selepas taufan.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden juga terpaksa menangguhkan lawatan ke luar negara. Pada masa sama beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan semasa yang dikeluarkan.- REUTERS