fb fb fb fb fb

Lelaki Afghan ditahan rancang serangan pada hari pilihan raya AS

FOTO AFP

WASHINGTON, 8 Oktober- Seorang lelaki warga Afghanistan telah ditangkap kerana didakwa merancang serangan pada hari pilihan raya AS bagi pihak kumpulan IS, kata Jabatan Kehakiman pada Selasa.

Nasir Ahmad Tawhedi, 27, telah ditahan pada Isnin di negeri barat AS, Oklahoma dan telah didakwa kerana cuba memberikan sokongan material kepada IS.

"Jabatan Kehakiman berjaya menggagalkan rancangan defendan untuk mendapatkan senjata separa automatik dan melakukan serangan ganas atas nama IS di tanah AS pada Hari Pilihan Raya," kata Peguam Negara Merrick Garland dalam satu kenyataan.

Pengundi AS akan ke pusat undian pada 5 November.

Jabatan Kehakiman berkata Tawhedi ditangkap selepas dia didakwa mengambil langkah untuk melupuskan aset keluarganya, memindahkan ahli keluarganya ke luar negara, mendapatkan senapang AK-47 dan peluru, serta melakukan serangan pengganas di Amerika Syarikat.

Tawhedi dikatakan telah berkomplot untuk melaksanakan serangan itu bersama seorang lagi warganegara Afghanistan, seorang remaja yang tidak didedahkan identitinya tetapi dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai adik iparnya.

Tawhedi memasuki Amerika Syarikat pada 9 September 2021 dengan visa imigran khas.

Seorang pemberi maklumat FBI telah menghubungi Tawhedi selepas dia baru-baru ini mengiklankan jualan hartanya di Facebook.

Sumber FBI tersebut menyatakan dia memerlukan komputer untuk perniagaan senjata yang baru dimulakannya dan Tawhedi menunjukkan minat untuk membeli dua senapang AK-47 dan peluru.

Pada Isnin, Tawhedi dan remaja itu bertemu dengan anggota FBI yang menyamar di lokasi luar bandar di Oklahoma dan membeli dua senapang AK-47, 10 magazin, dan 500 butir peluru, kata laporan itu.

Mereka ditangkap serta-merta.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE