fb fb fb fb fb

3 juta kanak-kanak kebuluran di UK

FOTO HIASAN

LONDON, 8 Oktober- Seramai 9.3 juta orang, termasuk tiga juta kanak-kanak, sedang menghadapi kebuluran di UK, menurut satu kajian pada Rabu. Ini memberi tekanan kepada kerajaan baharu parti Buruh untuk berusaha lebih kuat dalam menangani kemiskinan.

Penemuan itu muncul sebelum pembentangan bajet pertama kerajaan yang dijangka akhir bulan ini, dalam suasana krisis kos sara hidup yang menyebabkan peningkatan ketara penggunaan bank makanan.

Menurut laporan daripada organisasi bukan kerajaan, Trussell Trust, hampir suku kanak-kanak bawah umur empat tahun sedang menghadapi kemiskinan melampau.

"Lebih mengejutkan, 46 peratus lebih kanak-kanak kini berhadapan dengan kebuluran dan hidup dalam kedaifan berbanding dua dekad lalu. Ini bermakna seorang daripada lima kanak-kanak membesar terperangkap dalam situasi ini," kata trust itu dalam satu kenyataan.

Laporan UNICEF tahun lepas mendapati bahawa UK sebuah negara anggota G7 dan NATO, serta ekonomi keenam terbesar dunia mempunyai kadar kemiskinan kanak-kanak antara yang tertinggi dalam kalangan negara-negara kaya.

Trussell Trust berkata tanpa tindakan segera daripada kerajaan Perdana Menteri Keir Starmer, jumlah mereka yang berhadapan dengan kebuluran didefinisikan sebagai hidup 25 peratus di bawah garis kemiskinan akan terus meningkat.

Salah satu langkah yang boleh membantu mengurangkan tahap kemiskinan adalah dengan membuang had manfaat dua anak, yang bermaksud keluarga tidak boleh menuntut subsidi kerajaan untuk anak ketiga yang lahir selepas April 2017.

Bagaimanapun, parti Buruh telah menolak untuk memansuhkan dasar tersebut walaupun menerima tentangan hebat daripada para aktivis, kesatuan sekerja, dan beberapa ahli parlimennya sendiri.

Menteri kewangan, Rachel Reeves, mengatakan bahawa dia tidak dapat memansuhkan had tersebut dalam bajet pada 30 Oktober kerana kekurangan belanjawan sebanyak £22 bilion (AS$28.8 bilion) yang didakwa ditinggalkan oleh kerajaan yang lepas.

Bimbang dengan tuduhan ketidaktanggungjawaban ekonomi, parti Buruh telah berpegang kepada janji yang lebih samar untuk "membangunkan strategi yang bercita-cita tinggi bagi mengurangkan kemiskinan kanak-kanak," dan isu had dua anak telah menjadi medan pertempuran politik.

Bulan lalu, ia disebut dalam surat peletakan jawatan ahli parlimen pertama dari Buruh yang meninggalkan parti sejak pilihan raya di mana mereka menyingkirkan parti Tory pimpinan Rishi Sunak.

Rosie Duffield menuduh perdana menteri dan pasukannya bersikap hipokrit kerana menerima hadiah pakaian mahal dan layanan daripada penderma kaya sambil "memilih untuk mengekalkan had dua anak parti Konservatif."

John McDonnell yang pernah berkhidmat sebagai jurucakap kewangan bekas pemimpin Buruh daripada sayap kiri, Jeremy Corbyn dan merupakan salah seorang daripada tujuh ahli parlimen yang digantung oleh parti itu pada Julai kerana mengundi untuk memansuhkan had tersebut dengan menyifatkannya sebagai "serangan kejam ke atas keluarga."

"Parti Buruh dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk mengakhiri penderitaan kanak-kanak ini. Ia mampu dilakukan sepenuhnya dan akan menjimatkan wang dengan mencegah masalah kesihatan dalam kalangan kanak-kanak miskin," katanya.

Krisis kos sara hidup adalah isu utama dalam pilihan raya.

Sepanjang dua tahun yang lalu, golongan pekerja baik doktor dan jururawat hingga guru dan pemandu kereta api, telah melakukan mogok kerana gaji yang gagal menyaingi inflasi.

Helen Barnard, pengarah dasar, penyelidikan dan impak di Trussell Trust, berkata angka terbaru itu "tidak sepatutnya berlaku di salah satu negara terkaya di dunia."

"Kita memerlukan tindakan segera mengenai kebuluran di UK kerana jika tiada perubahan, bilangan orang yang menghadapi kebuluran dan kesusahan hanya akan terus meningkat," tambahnya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE