fb fb fb fb fb

Taufan Milton, penduduk Florida dinasihat berwaspada

Foto Reuters

FLORIDA, 10 Oktober- Penduduk Florida dinasihat berwaspada selepas Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) AS mengeluarkan amaran 'amat berbahaya' terhadap ketibaan taufan Milton.

Taufan tersebut mengancam keselamatan penduduk, dengan tiupan angin kencang serta mencetuskan banjir kilat di seluruh Florida Tengah.

Taufan Milton tiba lebih awal daripada ramalan ke selatan Amerika Syarikat (AS), selepas mendarat di pantai barat Florida pada Rabu.

Pusat Taufan Kebangsaan AS (NHC) dalam kenyataan menjelaskan, Milton mendarat pada pukul 8.30 malam waktu tempatan dengan kategori taufan Tahap 3, beserta kelajuan angin maksimum, mencapai 120 batu sejam berhampiran Siesta Key.

Siesta Key ialah sebuah bandar pulau kira-kira 100 kilometer (km) di selatan kawasan metropolitan Teluk Tampa, yang menempatkan lebih daripada tiga juta orang.

Gabenor Florida, Ron DeSantis berharap kawasan pantai barat Florida dapat 'mengelak' situasi terburuk seperti yang diramalkan NHC.

Menurut peramal, air laut boleh naik setinggi 13 kaki (4 meter).

"Taufan itu telah pun menimbulkan sekurang-kurangnya 19 puting beliung, menyebabkan kerosakan di banyak daerah dan memusnahkan sekitar 125 buah rumah."

"Pada ketika ini, terlalu berbahaya untuk berpindah dengan selamat. Jadi, anda perlu berteduh di tempat selamat dan peka situasi semasa," kata DeSantis semasa mengumumkan pendaratan.

Ribut itu dijangka merentasi semenanjung Florida semalaman dan bergerak ke Atlantik, masih dengan kekuatan taufan pada Khamis.

Dua minggu lalu, AS turut dilanda taufan Helene sehingga memaksa dua juta orang berpindah selain mengakibatkan ratusan kematian.

Kedua-dua taufan itu dijangka menyebabkan kerosakan berbilion dolar.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM