fb fb fb fb fb

Dua pekerja maut, 35 cedera dalam kebocoran kimia

FOTO HIASAN

MEXICO CITY, 12 Oktober- Sekurang-kurangnya dua pekerja terbunuh dan 35 lagi mengalami kecederaan dalam kebocoran bahan kimia di kilang penapisan minyak di Texas yang dimiliki oleh syarikat Mexico iaitu Pemex.

"Malangnya, kami mengesahkan dua kematian melibatkan dua pekerja yang berada di kawasan terjejas dan terdedah secara langsung kepada kebocoran gas dalam kejadian pada Khamis di kilang penapisan di Deer Park," kata Pengarah Pemex Victor Rodriguez Padilla.

Sementara itu 35 individu lain memerlukan rawatan perubatan dengan 13 daripadanya masih dirawat di hospital untuk pemerhatian.

Kesemua pekerja yang terlibat adalah kakitangan kontraktor penyelenggaraan berpangkalan di Amerika Syarikat. Siasatan mengenai punca kebocoran sedang dijalankan, tambah Padilla.

Operasi di kilang penapisan yang memproses hampir 300,000 tong minyak sehari itu juga telah dikurangkan kepada tahap minimum selepas insiden tersebut.

Pemex mengalami beberapa kebakaran dan insiden keselamatan lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada April lalu, satu kebakaran di platform lepas pantai di tenggara Mexico mengakibatkan seorang pekerja terkorban dan pada Julai 2023, satu letupan berlaku di kemudahan gas di Teluk Mexico menyebabkan dua pekerja terkorban.

SITI AISHAH MD ISA