fb fb fb fb fb

Peralihan AI: TikTok kurangkan pekerja di Malaysia?

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Platform media sosial TikTok mengumumkan pengurangan ratusan pekerjaan dengan sejumlah besar pekerja di Malaysia dijangka terjejas sebagai langkah peralihan kepada moderasi kandungan dibantu oleh kecerdasan buatan (AI).

TikTok dimiliki oleh ByteDance dari China menyatakan mereka akan memotong beberapa ratus pekerjaan di seluruh dunia tanpa memberikan pecahan mengikut negara.

Di Malaysia, sekitar 500 pekerjaan dijangka terjejas akibat langkah berkenaan.

Jurucakap TikTok memaklumkan pemotongan itu adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan moderasi kandungan.

"Kami menjangkakan untuk melabur sebanyak AS$2 bilion di seluruh dunia pada tahun 2024 bagi meningkatkan keselamatan dan kepercayaan. Selain itu, kami terus berusaha meningkatkan keberkesanan usaha kami, yang mana kini 80% kandungan yang melanggar peraturan telah dikeluarkan secara automatik oleh teknologi AI," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan ringkas semalam.

ByteDance menggunakan gabungan moderator manusia dan pengesanan automatik untuk menyemak kandungan yang dimuat naik pada platform TikTok.

Penyusunan semula itu berlaku selepas berbulan-bulan spekulasi mengenai pengurangan operasi global dan tenaga kerja pemasaran TikTok.

Menurut laman web syarikat, ByteDance mempunyai lebih 110,000 pekerja yang beroperasi dari lebih 200 bandar di seluruh dunia buat masa ini.

Pengurangan pekerjaan oleh TikTok berlaku ketika gergasi teknologi menghadapi tekanan pengawalan yang meningkat di Malaysia, yang mana peningkatan kandungan "jahat" atau "berbahaya" di media sosial dilaporkan awal tahun ini.

Malaysia sedang mengambil langkah-langkah untuk mengawal selia platform media sosial dengan meminta platform-platform berkenaan untuk memohon lesen operasi sebagai usaha untuk menangani peningkatan jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan buli siber. -AFP

SITI AISHAH MD ISA