NEW DELHI, 12 Oktober- Sebuah pesawat Air India Express yang membawa 144 penumpang selamat mendarat di Lapangan Terbang Tiruchirappalli di Tamil Nadu pada petang Jumaat selepas mengalami detik cemas di udara akibat masalah teknikal.
Penerbangan IX613 yang menuju ke Sharjah itu berlepas dari Tiruchirappalli pada 5.43 petang tetapi mengalami kegagalan sistem hidraulik menyebabkan pesawat itu terpaksa berpatah balik, menurut laporan media tempatan.
Pesawat Boeing 737-800 itu berpusing beberapa kali di kawasan ditetapkan untuk mengurangkan bahan api dan berat sebelum membuat 'pendaratan berjaga-jaga yang selamat' kira-kira 8.00 malam waktu India, menurut laporan yang memetik jurucakap syarikat penerbangan.
"Sebaik sahaja menerima berita tentang masalah gear pendaratan, saya segera menyelaraskan mesyuarat tergempar dengan pegawai melalui telefon dan mengarahkan mereka melaksanakan semua langkah keselamatan yang diperlukan termasuk mengerahkan jentera bomba, ambulans dan bantuan perubatan," kata Ketua Menteri Tamil Nadu M.K. Stalin dalam satu hantaran di media sosial. -BERNAMA