BUENOS AIRES, 16 November -Satu letupan besar menggegarkan kompleks industri di Carlos Spegazzini, sekali gus mencetuskan kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya tujuh gudang.
Letupan pada malam Jumaat itu menghamburkan serpihan serta bahan pijar sehingga 250 meter dari lokasi asal, menyebabkan api merebak ke premis berhampiran.
Pengarah Pertahanan Awam Buenos Aires, Fabian Garcia berkata, letupan berkenaan berlaku di sebuah kilang dalam kawasan perindustrian tersebut sebelum merebak ke beberapa industri lain.
“Ia letupan yang sangat kuat. Sekitar tujuh gudang terjejas, ada rosak akibat gelombang letupan, ada yang terbakar selepas terkena bahan pijar,” katanya.
Seramai 12 individu dilaporkan cedera ringan dan dihantar ke hospital.
Garcia turut memaklumkan tiada pekerja dilaporkan hilang atau terperangkap.
Kebakaran turut memusnahkan sebahagian besar premis syarikat Flamia S.A.
Pengarah syarikat itu, Manuel Urrea menyifatkan, kemusnahan yang berlaku sebagai “amat dahsyat”, dengan keseluruhan bahagian selatan kilang roboh manakala gudang seluas 10,000 meter persegi musnah.
Punca letupan masih dalam siasatan.
Pihak bomba dan pertahanan awam terus menjalankan pemeriksaan keselamatan serta penilaian struktur di kawasan berkenaan. -REUTERS