fb fb fb fb fb

Iran sahkan rampas kapal tangki Talara bawa petrokomia ke Singapura

Kapal tangki Talara yang dirampas Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran / REUTERS

TEHRAN, 16 November -Iran mengesahkan Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah merampas sebuah kapal tangki yang membawa muatan petrokomia ke Singapura, selepas didakwa melanggar peraturan perkapalan di perairan Teluk.

Media rasmi Iran melaporkan, kapal tangki Talara, yang berdaftar di Kepulauan Marshall itu ditahan ketika melalui perairan berhampiran Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sumber keselamatan maritim dan seorang pegawai Amerika Syarikat sebelum ini memaklumkan kapal berkenaan dipintas pada pagi Jumaat dan dibawa masuk ke perairan Iran.

Ini merupakan rampasan pertama oleh Tehran sejak siri serangan Israel–Amerika Syarikat pada Jun lalu.

Kapal itu membawa muatan gasoil bersulfur tinggi dari Sharjah, UAE menuju ke Singapura.

Menurut syarikat pengurusnya, Columbia Shipmanagement, komunikasi dengan Talara terputus ketika kapal berada kira-kira 20 batu nautika dari pantai Khor Fakkan, UAE.

Syarikat itu memaklumkan sedang bekerjasama dengan agensi keselamatan maritim dan pemilik kapal, Pasha Finance yang berpangkalan di Cyprus, bagi mengesan lokasi kru dan memastikan keselamatan mereka. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN