IDAHO, 30 Jun - Suspek yang melakukan serangan hendap dan menembak mati dua anggota bomba ketika sedang bertugas memadam kebakaran hutan, di sini semalam ditemui mati.
Sheriff Daerah Kootenai, Bob Norris mengesahkan tiga anggota bomba telah ditembak oleh penembak hendap dalam kejadian di Gunung Canfield itu, mengakibatkan dua maut dan seorang lagi cedera.
“Kami percaya suspek yang memulakan kebakaran tersebut.
“Ini adalah serangan hendap. Anggota bomba itu langsung tidak mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam satu sidang media.
Pihak berkuasa dilaporkan berbalas tembakan dengan suspek - Foto Reuters
Menurutnya, anggota bomba yang cedera parah kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.
Pihak berkuasa dilaporkan berbalas tembakan dengan suspek, namun masih belum jelas sama ada suspek terbunuh akibat ditembak atau membunuh diri.
Motif serangan masih belum diketahui dan identiti suspek masih dalam siasatan.
Menurut Norris, suspek menggunakan senjata api berkuasa tinggi dan melepaskan tembakan secara pantas ke arah pasukan penyelamat, menyebabkan pihak berkuasa pada awalnya tidak pasti berapa ramai penyerang yang terlibat.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai senjata yang dirampas, namun menjangka lebih banyak senjata akan ditemui selepas kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.
Menurut Norris, pasukan bomba menerima panggilan pertama mengenai kebakaran pada pukul 1:21 tengah hari (waktu tempatan), dan kira-kira 40 minit kemudian, mereka menerima laporan mengenai anggota bomba ditembak. - REUTERS