fb fb fb fb fb

Rusia kecam Israel ancam guna nuklear di Gaza

Maria Zakharova/AFP

MOSCOW, 10 November- Rusia mengecam kenyataan Israel mengenai "pilihan" penggunaan senjata nuklear di Gaza yang dikeluarkan oleh Menteri Warisannya, Amichay Eliyahu, baru-baru ini.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova berkata, kenyataan yang telah ditarik balik oleh Eliyahu itu adalah sama sekali tidak boleh diterima.

"Kami mendapati kenyataan ini provokatif, sama sekali tidak boleh diterima.

"Kenyataan sedemikian membayangkan bahawa seluruh penduduk Gaza sedang diancam dengan senjata nuklear. Adakah itu ancaman pembunuhan beramai-ramai?" tegasnya.

Tambah beliau, kenyataan tidak masuk akal itu telah mengesahkan pemilikan senjata nuklear oleh Israel.

“Ia bukan sahaja dengan jelas mengesahkan pemilikan senjata nuklear tetapi juga menunjukkan kesediaan (Israel) untuk mempertimbangkan secara serius penggunaan nuklear dalam senario tidak sesuai," tambahnya.

Israel secara luas diketahui mempunyai senjata nuklear namun tidak pernah mengakuinya.

Terdahulu, Eliyahu memberitahu radio Kol Barama Israel bahawa dia tidak berpuas hati sepenuhnya dengan skala serangan Israel ke atas Gaza dan menjatuhkan beberapa jenis bom atom akan menjadi "satu pilihan".

Dia kemudian menarik balik kenyataannya itu dengan kononnya ia adalah "metafora" sahaja. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA