KYIV, 20 Mac- Tentera Rusia didakwa mengusir secara paksa ribuan penduduk di sebuah bandar yang dikepung minggu lalu, selepas Moscow menyebut mengenai 'pelarian' yang tiba dari pelabuhan strategik itu.
Majlis Bandaraya Mariupol mendakwa sepanjang minggu lalu, ribuan penduduknya yang dihantar pulang ke wilayah Russia.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata, bas membawa penumpang yang dipanggil pelarian dari Mariupol mula tiba ke Russia pada Selasa.
Kementerian itu bagaimanapun tidak mengulas mengenai dakwaan Majlis Bandar Raya Mariupol.
(Sebanyak 13 bas sedang bergerak ke Rusia, membawa lebih 350 orang -FOTO AFP)
Menurut pihak berkuasa tempatan, kira-kira 400,000 orang terperangkap di Mariupol di Laut Azov, yang berlindung daripada serangan bom dahsyat selama dua minggi sehingga mengakibatkan bekalan elektrik, sumber pemanas dan air terputus.
Agensi berita Rusia, TASS melaporkan semalam, sebanyak 13 bas sedang bergerak ke Russia, membawa lebih 350 orang dengan kira-kira 50 daripadanya akan dihantar melalui kereta api ke wilayah Yaroslavl dan selebihnya ke pusat peralihan sementara di Taganrog, sebuah bandar pelabuhan di Wilayah Rostov di Rusia.
Agensi itu turut memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia yang memaklumkan, pada bulan ini negara itu menyediakan 200 bas untuk memindahkan penduduk di Mariupol.
Katanya, pada bulan ini juga Rusia menerima permintaan daripada lebih 2.6 juta penduduk Ukraine supaya mereka dipindahkan.
Mariupol yang menjadi penghubung utama ke Laut Hitam menjadi sasaran sejak tercetus perang pada 24 Februari lalu, selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan apa yang digelarnya sebagai 'operasi ketenteraan khas' untuk memusnahkan tentera dan pemerintahan di Ukraine. -REUTERS