fb fb fb fb fb

Puluhan Rohingya larikan diri dari Myanmar, terbunuh dalam serangan dron

Cox's Bazar, Bangladesh/ Foto fail REUTERS

BANGKOK, 12 Ogos- Berpuluh-puluh Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar terbunuh termasuk keluarga yang mempunyai anak dalam serangan dron, kata beberapa saksi.

Seorang wanita yang sarat mengandung dan anak perempuannya yang berusia dua tahun antara mangsa dalam serangan itu.

Tiga daripada saksi memberitahu Reuters pada Jumaat memaklumkan Tentera Arakan bertanggungjawab namun dakwaan kumpulan itu dinafikan.

Bagaimanapun Reuters tidak dapat mengesahkan bilangan individu yang terkorban dalam serangan itu atau secara bebas menentukan tanggungjawab.

Menerusi video yang disiarkan ke media sosial menunjukkan timbunan mayat di tanah berlumpur, beg pakaian dan beg galas bertaburan di sekeliling mereka. Tiga mangsa yang terselamat berkata lebih 200 maut manakala seorang saksi kejadian berkata dia telah melihat sekurang-kurangnya 70 mayat.

Reuters mengesahkan lokasi video itu di luar bandar pantai Myanmar Maungdaw. Namun Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas tarikh video itu dirakam.

Seorang saksi, Mohammed Eleyas, 35, berkata, isterinya yang hamil dan anak perempuannya yang berusia 2 tahun cedera dalam serangan itu dan kemudian meninggal dunia.

Dia berdiri bersama-sama mereka di pinggir pantai apabila dron mula menyerang orang ramai, kata Eleyas kepada Reuters dari kem pelarian di Bangladesh.

"Saya mendengar bunyi tembakan berkali-kali," katanya. Eleyas berkata, dia baring di atas tanah untuk melindungi dirinya dan apabila dia bangun, dia melihat isteri dan anak perempuannya cedera parah dan ramai saudaranya yang lain mati.

Saksi kedua, Shamsuddin, 28, berkata, dia terselamat bersama-sama isteri dan anak lelakinya yang baru lahir.

Bot yang membawa pelarian Rohingya, anggota minoriti kebanyakannya Islam yang menghadapi penganiayaan melampau di Myanmar, turut karam di Sungai Naf, menurut dua saksi dan media Bangladesh.

Medecins Sans Frontieres dalam satu kenyataan berkata, organisasi bantuan itu telah merawat 39 individu yang menyeberang dari Myanmar ke Bangladesh sejak Sabtu kerana kecederaan.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian berkata, agensi itu "menyedari kematian pelarian akibat karam dua bot di Teluk Bengal" dan ia telah mendengar laporan kematian orang awam di Maungdaw namun ia tidak dapat mengesahkan angka atau keadaan berkenaan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI