Nurul Izzah Izzati lebur rekod kebangsaan di Nilai

Pelumba berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri beraksi dalam acara pecut wanita pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Velodrom Nasional./foto BERNAMA

NILAI, 25 April – Pelumba berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri melakar sejarah peribadi baharu apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut individu wanita pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mencatat masa 10.541 saat, memperbaiki rekod lama 10.578 saat yang dicipta di Turkiye.
  • Skuad pecut berpasukan wanita tersingkir awal, tewas kepada Poland 48.297 saat berbanding 47.673 saat.
  • Masalah kesihatan dialami Nurul Izzah dan Anis Amira menjejaskan prestasi, tetapi kemenangan individu tingkatkan moral kem.

Atlet kelahiran Kedah itu mempamerkan kayuhan bertenaga dengan mencatat masa 10.541 saat, sekali gus meleburkan rekod lama 10.578 saat yang diciptanya sendiri pada Kejohanan Piala Negara-Negara di Turkiye, tahun lalu.

Kejayaan manis tersebut hadir tepat pada masanya, hanya sehari selepas kem berbasikal negara terpaksa menelan kepahitan apabila skuad pecut berpasukan wanita terkandas seawal pusingan pertama.

Pada aksi di gelanggang sama semalam, Nurul Izzah Izzati yang bergandingan bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid mencatatkan 48.297 saat, namun tewas kepada pasukan Poland yang melakukan pecutan 47.673 saat.

Prestasi trio negara itu sedikit terencat ekoran masalah kesihatan yang dialami oleh Nurul Izzah Izzati dan Anis Amira.

Namun, semangat kental yang dipamerkan Nurul Izzah Izzati hari ini nyata mengubah kekecewaan semalam, sekali gus memberikan suntikan moral buat kem Malaysia dalam mengharungi baki saingan.