Selangor juara keseluruhan Merentas Desa MSSM 2026

Kontinjen Selangor juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa MSSM 2026

LABUAN, 25 April – Kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan melibatkan 480 peserta dalam kategori bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun.
  • Jarak larian ditetapkan 4 km bagi bawah 12, 6 km bagi bawah 15 dan 8 km bagi bawah 18.
  • Pemenang individu dan berpasukan termasuk Kedah, Sabah, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan serta Wilayah Persekutuan.

Kejohanan itu menghimpunkan seramai 480 peserta melibatkan kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun, bawah 15 tahun serta bawah 18 tahun.

Jarak larian dibahagikan kepada tiga kategori iaitu empat kilometer bagi bawah 12 tahun, enam kilometer (bawah 15 tahun) dan lapan kilometer bagi bawah 18 tahun.

Bagi acara individu, kategori bawah 18 tahun lelaki dan perempuan masing-masing dimenangi peserta dari Kedah dan Sabah.

Sementara itu, bagi kategori bawah 15 tahun, acara lelaki dimenangi pelari dari Johor manakala kategori perempuan menjadi milik peserta dari Pulau Pinang.

Dalam kategori bawah 12 tahun pula, acara lelaki dan perempuan masing-masing dimenangi peserta dari Melaka dan Kelantan.

Bagi acara berpasukan, kategori lelaki dan perempuan bawah 18 tahun dimenangi Johor dan Sabah, manakala kategori bawah 15 tahun masing-masing dirangkul Johor dan Kelantan.

Wilayah Persekutuan dan Kelantan pula muncul johan bagi kategori berpasukan lelaki dan perempuan bawah 12 tahun.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yahya Ahmad Puteh.