TOKYO, 9 Oktober - Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba mengumumkan pembubaran Parlimen menjelang pilihan raya mengejut, 27 Oktober ini.
Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Ishiba yang mentadbir Jepun hampir tanpa gangguan selama beberapa dekad, meskipun kerap berubah pemimpin dilihat hampir pasti akan dipilih semula.
Namun Ishiba yang dinamakan Perdana Menteri pada minggu lalu, mahu memperkukuh mandatnya untuk meneruskan dasar yang termasuk meningkatkan perbelanjaan bagi pertahanan, serta untuk kawasan miskin yang dilanda krisis demografi.
"Kami mahu menghadapi pilihan raya ini dengan adil dan ikhlas, bagi memastikan kerajaan ini mendapat kepercayaan orang ramai," kata Ishiba kepada pemberita hari ini.
Speaker Parlimen kemudiannya membacakan surat daripada Perdana Menteri yang menandakan pembubaran Parlimen secara rasmi dengan disambut laungan "banzai" oleh Ahli Parlimen.
Perdana Menteri sebelum ini, Fumio Kishida yang memimpin kerajaan selama tiga tahun mendapat markah atau 'approval rating' yang rendah, ekoran skandal dana politik dan ketidakpuasan pengundi terhadap kenaikan harga.
Tinjauan pendapat pada minggu lalu memberikan kabinet Ishiba markah antara 45 hingga 50 peratus berbanding 20 hingga 30 peratus yang diperoleh kerajaan pimpinan Kishida pada bulan terakhir pentadbirannya. -AFP