TAIPEI, 28 Mac-Menteri Pertahanan Taiwan pada Jumaat menafikan tuduhan China mengenai perlanggaran antara kapal tentera laut Taiwan dan bot nelayan China di Selat Taiwan sambil menegaskan bahawa Taipei akan terus menjalankan latihan ketenteraan seperti yang diperlukan.
"Pejabat Hal Ehwal Taiwan selalu mengeluarkan kenyataan seperti ini. Saya hanya boleh katakan bahawa kami akan meneruskan latihan ketenteraan seperti yang sepatutnya," kata Menteri Pertahanan Taiwan, Wellington Koo, kepada wartawan di luar parlimen.
Ketika ditanya sama ada bot nelayan China itu sedang mengintip aktiviti tentera laut Taiwan, Koo berkata adalah "tidak mungkin" bagi kapal sedemikian untuk mendapatkan sebarang maklumat terperinci mengenai operasi ketenteraan.
Lewat Khamis lepas ,Pejabat Hal Ehwal Taiwan China mengecam tindakan kapal pendaratan Taiwan sebagai berniat jahat selepas perlanggaran yang berlaku di luar bandar Taichung, tengah Taiwan.
Pengawal pantai Taiwan sedang mengetuai siasatan mengenai kejadian itu, tambahnya, sambil menjelaskan bahawa tidak ada sebarang kecederaan yang dilaporkan dan enggan membuat spekulasi tentang punca insiden atau pihak yang bertanggungjawab.
Selat Taiwan merupakan lokasi aktiviti ketenteraan harian antara China dan Taiwan, namun kedua-dua pihak biasanya mengekalkan jarak sebagai tanda hormat dan tiada pertempuran berlaku selama beberapa dekad.
China, yang menuntut Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, telah meningkatkan latihan ketenteraan di sekitar pulau itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kerajaan Taiwan menolak tuntutan kedaulatan China dan secara rutin mengecam apa yang dikatakannya sebagai usaha Beijing untuk memberi tekanan ke atas Taipei.
Minggu ini, Pejabat Hal Ehwal Taiwan China menerbitkan senarai nama individu yang didakwa sebagai "pemecah belah" yang aktivitinya telah dilaporkan melalui alamat e-mel khas, walaupun tidak dinyatakan sama ada laporan itu datang dari penduduk China atau Taiwan.
Menteri Dalam Negeri Taiwan, Liu Shyh-fang, yang namanya berada di bahagian atas senarai tersebut, memberitahu wartawan pada hari Jumaat bahawa beliau sibuk minggu ini dan tidak memberi perhatian kepada perkara itu.
"Saya rasa rakan-rakan kita di Pejabat Hal Ehwal Taiwan telah bertindak sangat biadab terhadap pegawai kami," katanya.
China sebelum ini telah menggalakkan rakyat untuk menghantar maklumat tentang apa yang disebutnya sebagai aktiviti "pemecah-belah" di Taiwan.-REUTERS>