PARIS, 28 November - Pencemaran udara akibat kebakaran telah dikaitkan dengan lebih 1.5 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia, dengan majoriti besar berlaku di negara-negara membangun, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet baru-baru ini.
Kajian tersebut turut menjangkakan angka kematian akan meningkat pada masa hadapan berikutan perubahan iklim yang mengakibatkan kebakaran hutan menjadi lebih kerap dan dahsyat.
Kajian oleh pasukan penyelidik antarabangsa itu meneliti data mengenai "kebakaran landskap", yang meliputi kebakaran liar di kawasan semula jadi dan kebakaran terancang seperti pembakaran terkawal untuk tujuan pertanian.
Menurut penyelidik, sekitar 450,000 kematian setiap tahun akibat penyakit jantung dan 220,000 lagi akibat penyakit pernafasan dikaitkan dengan pencemaran udara yang disebabkan oleh kebakaran antara tahun 2000 dan 2019.
Secara keseluruhan, sebanyak 1.53 juta kematian tahunan di seluruh dunia telah dikaitkan dengan pencemaran udara akibat kebakaran landskap.
Lebih 90 peratus daripada kematian tersebut berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana, dengan hampir 40 peratus berlaku di kawasan sub-Sahara Afrika sahaja.
Negara-negara dengan angka kematian tertinggi termasuk China, Republik Demokratik Congo, India, Indonesia, dan Nigeria.
Kajian tersebut turut menegaskan keperluan tindakan segera untuk menangani masalah tersebut yang telah memperlihatkan "ketidakadilan iklim", di mana negara yang paling sedikit menyumbang kepada pemanasan global terpaksa menanggung kesannya yang paling teruk.
Beberapa langkah untuk mengelakkan asap kebakaran, seperti berpindah, menggunakan penapis udara, atau tinggal di dalam rumah, sukar dilaksanakan oleh penduduk di negara-negara miskin.
Penyelidik menyeru sokongan kewangan dan teknologi untuk negara-negara yang paling teruk terjejas.
Kajian telah diterbitkan seminggu selepas rundingan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), di mana perjanjian untuk meningkatkan pembiayaan iklim dicapai, namun dikritik sebagai tidak mencukupi oleh negara-negara membangun.-AFP