fb fb fb fb fb

Pemberontak bebaskan juruterbang New Zealand daripada tahanan

Foto Reuters

JAKARTA, 21 September – Pemberontak di wilayah Papua yang bergolak telah membebaskan juruterbang New Zealand, Phillip Mehrtens, daripada tahanan, menurut pihak polis Indonesia pada Sabtu, lebih dari setahun setengah selepas beliau diculik.

Mehrtens, yang bekerja untuk syarikat penerbangan Indonesia, Susi Air, diculik oleh pemberontak di lapangan terbang Nduga pada 7 Februari tahun lalu.

“Hari ini kami telah mengambil pilot Phillip yang berada dalam keadaan sihat dan kami terbangkan beliau dari Nduga ke Timika,” kata Faizal Ramadhani, ketua unit khas yang ditubuhkan untuk menangani pemberontak di Papua.

Pasukan tugas bersama polis dan tentera mengambil Mehrtens di sebuah kampung di daerah Nduga pagi ini.

Tahanan yang dibebaskan itu kemudiannya diberikan pemeriksaan perubatan dan psikologi sebelum diterbangkan ke bandar Timika di Papua.

Faizal menambah, pasukan tugas tersebut akan mengadakan sidang media, hari ini.

Mehrtens sedang menyediakan pautan udara penting dan bekalan kepada komuniti terpencil ketika beliau diculik oleh kumpulan pemberontak Tentara Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB).

Pembebasan beliau berlaku selepas usaha diplomatik yang intensif oleh Wellington dan Jakarta.

Pemberontak telah meminta agar Indonesia mengiktiraf kemerdekaan Papua sebagai syarat untuk kebebasan beliau.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand menyatakan mereka akan memberi kenyataan kemudian, manakala TPNPB tidak memberi respons kepada permintaan untuk komen.

Indonesia mengekalkan kehadiran ketenteraan yang kuat di Papua, yang kaya dengan sumber namun kurang membangun, untuk menumpaskan pemberontakan pemisah yang telah lama berlaku.

Serangan pemberontak di Papua telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan penerbangan adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk menghubungkan kawasan pergunungan terpencil di sana.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN