NEW YORK, 17 Disember- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah di Khan Yunis, selatan Gaza, Ahad lalu yang menyebabkan kematian puluhan orang awam.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), jurucakap PBB, Stéphane Dujarric ketika mengecam tindakan berkenaan berkata sekolah itu menempatkan ramai penduduk yang kehilangan tempat tinggal, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
"Israel telah menolak semua permintaan PBB untuk meluluskan tiga operasi kemanusiaan bagi menghantar bekalan makanan dan air ke utara Gaza.
"PBB akan terus menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan," lapor WAFA.
Terdahulu, serangan udara Israel yang menyasarkan Sekolah Sheikh Jamil, barat Khan Yunis, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang awam.
Serangan itu dilakukan tanpa sebarang amaran awal, menyebabkan banyak kematian dan kemusnahan besar.
Pada 5 Oktober lalu, Israel sekali lagi melancarkan serangan ke atas utara Gaza, disertai dengan pengeboman serta sekatan yang menghalang kemasukan bekalan asas seperti makanan, air dan ubat-ubatan.
Sejak 7 Oktober tahun lalu, Israel terus melakukan serangan terhadap Gaza, yang setakat ini telah meragut lebih 151,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Di samping itu, lebih 11,000 orang masih hilang.
Pencerobohan yang berterusan itu juga telah menyebabkan kemusnahan besar serta kebuluran yang meragut nyawa puluhan kanak-kanak dan warga emas, menjadikannya salah satu krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.