fb fb fb fb fb

PBB kecam 'hukuman kolektif' terhadap rakyat Palestin

(Foto AFP)

BEIJING, 18 Oktober- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata bahawa serangan Hamas ke atas Israel tidak mewajarkan "hukuman kolektif" terhadap rakyat Palestin dan menggesa gencatan senjata segera.

Beliau ketika bercakap di Forum Ekonomi di China, mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel yang menyebabkan lebih 1,400 orang sebagai "tindakan keganasan" yang tidak boleh diterima.

“Namun, serangan itu tidak boleh membenarkan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin,” kata Guterres.

Beliau merayu supaya gencatan senjata kemanusiaan dengan segera dalam perang antara Israel dan Hamas di Gaza, serta mengulangi apa yang disebutnya "dua rayuan kemanusiaan segera".

(Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres/AFP)

 

Guterres menggesa Hamas untuk "membebaskan tebusan segera dan tanpa syarat", merujuk kepada sekurang-kurangnya 199 orang yang diculik oleh Hamas semasa serangan yang menyaksikan paling banyak kematian dalam sejarah Israel.

Guterres juga menyeru Israel untuk segera membenarkan akses tanpa had bantuan kemanusiaan bagi menyalurkan keperluan paling asas kepada penduduk Gaza, yang majoriti adalah wanita dan kanak-kanak.

"Saya menyeru gencatan senjata kemanusiaan dengan segera untuk menyediakan masa dan ruang yang mencukupi untuk membantu merealisasikan dua rayuan saya dan untuk meringankan penderitaan manusia yang kita saksikan," kata Guterres.

Guterres turut menyedari penderitaan rakyat Palestin selepas 56 tahun pendudukan Israel.

Beliau sebelum ini berkata dia "gerun" dengan letupan maut yang melanda sebuah hospital di Gaza awal pagi tadi.

"Hati saya bersama keluarga mangsa. Hospital dan kakitangan perubatan dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata Guterres dalam catatan di X.

Guterres turut mengutuk serangan ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan oleh PBB di kem pelarian Gaza yang turut mengorbankan enam orang.-AFP

Media Baharu