ISTANBUL, 12 November- Palestin dan Jordan mengecam kenyataan yang dibuat pada Isnin oleh Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich yang menyatakan hasratnya untuk menggesa kerajaan Israel berunding dengan pentadbiran Trump yang akan datang bagi mendapatkan sokongan untuk peluasan kedaulatan Israel ke atas Tebing Barat melalui pengilhakan penempatan Yahudi menjelang 2025.
Kedua-dua negara memberi amaran bahawa rancangan itu boleh mencetuskan 'peperangan besar di rantau ini' serta memburukkan lagi pengusiran dan konflik, lapor Agensi Anadolu.
Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh dan Kementerian Luar Palestin mengeluarkan kenyataan yang turut disokong oleh Hamas dan Kementerian Luar Jordan.
Sebelum ini, Smotrich mengarahkan Bahagian Penempatan dan Pentadbiran Awam Israel untuk memulakan kerja asas bagi menyediakan infrastruktur untuk ‘membina kedaulatan.’
Abu Rudeineh berkata bahawa kenyataan Smotrich mendedahkan niat Israel untuk “menyempurnakan penguasaan ke atas Tebing Barat menjelang 2025,” menurut agensi berita Palestin, WAFA.
Beliau berkata kenyataan itu secara terang-terangan mencabar resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menyeru pelaksanaan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Kementerian Luar Palestin dalam kenyataannya mengutuk rancangan Israel itu sebagai “bentuk kolonialisme perkauman yang jelas” dan kesinambungan “pembunuhan beramai-ramai serta pengusiran terhadap rakyat Palestin.”
Kementerian itu turut mengkritik dasar itu sebagai “penghinaan berulang” terhadap konsensus antarabangsa mengenai penyelesaian dua negara.
Hamas juga mengecam kenyataan Smotrich, memberi amaran bahawa tindakan itu hanya akan “meningkatkan ketegangan di peringkat serantau dan antarabangsa.”
“Kenyataan oleh Menteri Kewangan yang ekstremis, Smotrich, mengesahkan cita-cita kolonialisme pendudukan dan penafian hak rakyat kami, sekali gus menafikan sebarang ilusi tentang keamanan,” menurut kumpulan itu.
Kumpulan itu menegaskan bahawa rakyat Palestin dan puak penentang akan terus menentang rancangan penjajahan ini.
Kementerian Luar Jordan turut mengecam kenyataan Smotrich sebagai “hasutan ekstremis dan rasis,” sambil menyifatkan rancangan kedaulatan Israel sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta hak rakyat Palestin untuk sebuah negara merdeka di sepanjang sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.- BERNAMA-ANADOLU