fb fb fb fb fb

Niger bebaskan ketua editor Canal 3 TV, selepas ditahan kerana kritik junta

Seyni Amadou, ketua editor saluran penyiaran swasta Canal 3 TV, ditahan pada Sabtu kerana menyiarkan program yang mengkritik junta

ABIDJAN, 21 Januari- Niger telah membebaskan seorang ketua editor yang ditahan selepas saluran berita televisyen beliau menyiarkan program yang mengkritik junta yang memerintah, lapor penyiar itu pada hari Isnin.

Seyni Amadou, ketua editor saluran penyiaran swasta Canal 3 TV, ditahan pada Sabtu, dalam tindakan keras terbaru terhadap media selepas tentera mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada 2023.

Penahanan Amadou berlaku sehari selepas Menteri Komunikasi Niger, Sidi Raliou Mohamed, menggantung saluran tersebut selama sebulan ekoran siaran Canal 3 yang menilai prestasi pelbagai anggota kerajaan.

Mohamed juga menggantung kad wartawan Amadou selama tiga bulan.

"Seyni Amadou baru sahaja dibebaskan," kata pengarah umum Canal 3 TV, Ismael Abdoulaye.

Abdoulaye sebelum ini memberitahu AFP bahawa menteri komunikasi telah membatalkan penggantungan saluran dan penggantungan laporan Amadou.

Badan pemantau hak media, Reporters Without Borders (RSF), yang sebelum ini menyeru pembebasan Amadou, menyambut baik penggantungan yang dibatalkan, yang mereka anggap "tidak sah."

Niger berada di kedudukan ke-80 dari 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media 2024 yang diterbitkan oleh RSF yang berpusat di Paris.

Sejak tentera menggulingkan presiden yang dipilih secara demokratik, Mohamed Bazoum, pada 2023, negara Sahel itu telah mengetatkan kawalan terhadap pembangkangan, kebebasan media, dan masyarakat sivil.

Pada bulan November, seorang lagi wartawan di Canal 3, Serge Mathurin Adou, telah ditahan dan kemudian dijatuhi hukuman kerana didakwa cuba menggugat kestabilan negara jiran yang dipimpin oleh junta, Burkina Faso.

Pengarah urusan akhbar harian L'Enqueteur, Idrissa Soumana Maiga, dipenjarakan selama dua bulan atas tuduhan "merosakkan pertahanan negara," sebelum dibebaskan secara sementara pada bulan Julai.

Sementara pada September dan Oktober 2023, wartawan Samira Sabou ditahan sebelum dibebaskan sementara dan didakwa menyebarkan data yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Junta juga telah menyekat saluran antarabangsa termasuk Radio France Internationale (RFI), France 24, dan BBC.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE