LOS ANGELES, 11 Februari- Sekurang-kurangnya seorang maut apabila sebuah pesawat perniagaan merempuh pesawat lain ketika mendarat di sebuah lapangan terbang di Arizona, Amerika Syarikat pada Isnin.
Kejadian itu merupakan insiden terbaharu dalam siri nahas udara maut di negara berkenaan.
Seorang individu dilapor masih terperangkap dalam salah sebuah pesawat di Lapangan Terbang Scottsdale, Arizona, manakala tiga lagi dibawa ke hospital.
Gambar dari lokasi menunjukkan sebuah pesawat telah melanggar bahagian belakang pesawat lebih besar dengan kenderaan kecemasan dikerahkan ke tempat kejadian.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), sebuah Learjet 35A terbabas dari landasan selepas mendarat dan melanggar pesawat Gulfstream 200 yang berada di kawasan lapangan terbang.
"Kami masih belum dapat mengesahkan jumlah individu dalam pesawat. FAA telah menghentikan sementara penerbangan masuk ke lapangan terbang tersebut," kata jurucakap agensi itu.
Ketua Jabatan Bomba Scottsdale, Dave Folio berkata pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan seorang individu yang terperangkap.
“Kami mengesahkan terdapat lima individu terlibat, seorang meninggal dunia di hospital, dua lagi dalam keadaan kritikal telah dihantar ke pusat rawatan trauma, manakala seorang lagi dalam keadaan stabil turut menerima rawatan,” katanya dalam sidang media.
Nahas terbabit merupakan insiden terbaru dalam beberapa kejadian udara maut di Amerika Syarikat.
Pada 30 Januari, sebuah pesawat penumpang bertembung di udara dengan helikopter tentera AS di Washington mengorbankan kesemua 67 individu dalam kedua-dua pesawat.
Beberapa hari selepas itu, sebuah pesawat perubatan terhempas di kawasan kejiranan sibuk di Philadelphia menyebabkan tujuh maut dan 19 cedera.
Minggu lalu, sebuah pesawat kecil membawa 10 penumpang terhempas ketika dalam penerbangan antara dua penempatan terpencil di Alaska. Tiada mangsa terselamat dalam kejadian tersebut. -AFP
BERITA BERKAITAN