Washington, D.C, 30 Januari- Tiga anggota tentera Amerika Syarikat (AS) disahkan berada dalam helikopter yang bertembung dengan sebuah pesawat komersial pada Rabu di Sungai Potomac, Washington, menurut pegawai Tentera AS.
Helikopter jenis Black Hawk Sikorsky H-60 itu bertembung dengan pesawat Bombardier CRJ700 milik PSA Airlines dari Wichita, Kansas yang menurut Senator AS Roger Marshall dari Kansas membawa kira-kira 60 penumpang.
American Airlines kemudian mengesahkan bahawa 64 penumpang termasuk kru berada dalam pesawat komersial terbabit.
"Terdapat 60 penumpang dan empat kru di dalam pesawat tersebut," menurut kenyataan.
Senator Texas, Ted Cruz dalam kenyataan di media sosial pula berkata, "Kami tahu terdapat korban jiwa" namun tidak menyatakan jumlah sebenar.
Sementara itu, NBC News melaporkan empat mangsa telah ditemukan di sungai, manakala Washington Post melaporkan beberapa mayat telah berjaya dikeluarkan daripada air.
Insiden menyebabkan pesawat komersial terbabit terhempas ke dalam Sungai Potomac di Washington berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan di sini sekitar pukul 9.00 malam waktu tempatan.
"Presiden Donald Trump telah dimaklumkan mengenai situasi ini," kata Setiausaha Akhbar Trump Karoline Leavitt.
Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan semua penerbangan di Lapangan Terbang Reagan digantung, sementara polis Washington menerusi platform X memaklumkan "pelbagai agensi" sedang bertindak balas di lokasi nahas.
Menurut polis, bot pemadam kebakaran telah menyertai operasi di Sungai Potomac dengan keadaan gelap dan suhu hampir beku menyukarkan usaha menyelamat.
Berpuluh-puluh trak bomba turut dilihat menuju ke lapangan terbang.
Laporan awal sebelum ini melaporkan pesawat yang terlibat dalam nahas itu adalah pesawat ringan. -AFP-Reuters
BERITA BERKAITAN