fb fb fb fb fb

Tuna sirip biru cecah rekod 510.3 juta yen di lelongan pasar ikan Tokyo

Ketua Kiyomura Corp, Kiyoshi Kimura bergambar bersama tuna sirip biru seberat 243 kilogram yang dibeli pada harga rekod 510 juta yen/ REUTERS

TOKYO, 5 Januari – Seekor tuna sirip biru gergasi mencatat harga tertinggi dalam sejarah lelongan tahun baharu di Pasar Ikan Toyosu, Tokyo, apabila dibida pada 510.3 juta yen (kira-kira AS$3.24 juta) pada Isnin.

Tuna seberat 243 kilogram itu dimenangi oleh Kiyomura Corp, pengendali rangkaian restoran sushi terkenal Sushizanmai, sekali gus memecahkan rekod lama syarikat tersebut sebanyak 333.6 juta yen yang dicatat pada 2019.

Ketua Kiyomura Corp, Kiyoshi Kimura berkata bidaan tinggi itu dibuat sebagai simbol harapan terhadap pemulihan ekonomi Jepun.

“Saya berharap ekonomi akan menjadi lebih baik tahun ini. Kami mahu memberi semangat kepada orang ramai melalui bidaan ini,” katanya kepada media.

Kimura turut mengakui beliau menjangkakan harga bidaan lebih rendah, namun terkejut apabila melebihi paras 500 juta yen.

Tuna berkenaan kemudiannya dihantar ke cawangan utama Sushizanmai sebelum diagihkan ke restoran-restoran rangkaiannya di seluruh Jepun.

Menurut Kimura, hidangan tuna tersebut akan dijual kepada pelanggan pada harga biasa, meskipun kos pembelian mencatat rekod tertinggi.

Lelongan tuna tahun baharu di Jepun sering dianggap sebagai penunjuk keyakinan industri makanan laut dan ekonomi negara itu, serta menarik perhatian antarabangsa setiap tahun. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN