HAVANA, 5 Januari - Kerajaan Cuba memaklumkan seramai 32 warganya terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat di Venezuela yang bertujuan membawa keluar Presiden Nicolas Maduro untuk dihadapkan ke mahkamah di Amerika Syarikat.
Havana mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari pada 5 dan 6 Januari bagi memperingati mangsa yang terkorban, dengan urusan pengebumian akan diumumkan kemudian.
Sementara itu, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel memberi penghormatan kepada anggota keselamatan Cuba yang terkorban dalam insiden serangan berkenaan.
"Mereka gugur ketika mempertahankan tugas negara.
"Saya turut berkongsi kesedihan dan kemarahan rakyat Cuba, khususnya keluarga mangsa yang terkorban," katanya menerusi hantaran di platform X.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Venezuela, Jeneral Vladimir Padrino berkata, serangan Amerika Syarikat itu mengorbankan anggota tentera, orang awam serta sebahagian besar pasukan keselamatan presiden.