PRAYAGRAJ, 30 Januari- Dua ekor lembu berkaki lima menjadi tumpuan dalam festival mandi massal Maha Kumbh Mela di sini, Uttar Pradesh, India yang dihadiri jutaan penganut Hindu pada 18 Januari lalu.
Rakaman menunjukkan haiwan ternakan yang dianggap suci itu memiliki kaki tambahan yang tumbuh di bahagian leher.
Lembu tersebut dihiasi dengan kalungan bunga dan dipamerkan kepada para pengunjung festival.
Penduduk tempatan mempercayai bahawa kaki tambahan itu membawa tuah, malah menyentuhnya dikatakan dapat memenuhi hajat seseorang.
Seorang pengunjung, Sandeep berkata, "Haiwan ini dianggap bertuah kerana dilahirkan dengan keunikan itu dan mampu bertahan hidup begitu lama."
Festival Maha Kumbh yang diadakan setiap 12 tahun sekali bermula pada Isnin lalu dan diiktiraf sebagai perhimpunan manusia terbesar di dunia.
Acara berlangsung selama 45 hari itu diraikan bagi mengangkat tradisi budaya dan kerohanian masyarakat Hindu dengan lebih 450 juta penganut dijangka menyertai ritual mandi suci sepanjang tempoh festival. -Reuters