fb fb fb fb fb

Serpihan pesawat hilang di Alaska ditemui- Pengawal Pantai AS

Imej yang diperoleh daripada Pengawal Pantai AS (USCG) pada 7 Februari 2025, menunjukkan bangkai pesawat yang dilaporkan hilang pada 6 Februari lalu/ AFP

LOS ANGELES, 8 Februari- Serpihan pesawat yang hilang di Alaska telah ditemui dengan kesemua 10 orang di dalam pesawat itu dipercayai telah meninggal dunia.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) berkata pihaknya telah menemui serpihan pesawat Bering Air Caravan itu kira-kira 34 batu (55 kilometer) dari Nome.

"Tiga individu ditemui di dalam dan dilaporkan telah meninggal dunia," tulis Pengawal Pantai di media sosial.

"Baki tujuh orang lagi dipercayai berada di dalam pesawat itu, tetapi tidak dapat diakses kerana keadaan pesawat", tulisnya.

Sementara itu, Jabatan Bomba Sukarela Nome, yang bergegas mencari pesawat itu, memaklumkan di Facebook bahawa pasukan itu membantu dalam usaha pemulihan.

Pasukan mencari dan menyelamat Nome sedang mengumpulkan bantuan daripada Pengawal Kebangsaan Udara Alaska dengan usaha pencarian.

Pesawat yang dikendalikan secara persendirian itu, dengan sembilan penumpang dan seorang juruterbang, dalam penerbangan dari Unalakleet ke Nome, kata Polis Negeri Alaska.

Kedua-dua bandar ini terletak kira-kira 150 batu di seberang Norton Sound, di pantai barat negeri itu.

Nahas itu adalah insiden terbaharu dalam rentetan bencana penerbangan di Amerika Syarikat.

Pada 30 Januari lalu, sebuah jet penumpang bertembung di udara dengan helikopter Tentera AS di Washington, membunuh kesemua 67 orang di dalam kedua-dua pesawat itu.

Nahas tersebut berlaku dalam tempoh singkat selepas nahas sebuah pesawat perubatan yang terhempas di kawasan kejiranan yang sibuk di Philadelphia, mengorbankan tujuh orang dan mencederakan 19 yang lain.-AFP

ROSLINA BINTI DIN