SEOUL, 8 Februari- Korea Utara menegaskan bahawa senjata nuklearnya bukan untuk tujuan rundingan, sebaliknya digunakan untuk pertempuran menentang musuh yang mengancam rakyat serta keamanan dunia.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, di White House pada Jumaat.
Kedua-dua pemimpin itu menyatakan komitmen mereka untuk memastikan Korea Utara menamatkan program senjata nuklearnya.
Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, tidak menyebut mengenai pertemuan tersebut, sebaliknya memetik kenyataan pegawai NATO dan Kesatuan Eropah (EU) yang menggesa pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di Korea Utara.
"Kami tegaskan sekali lagi, senjata nuklear kami bukan untuk mendapatkan pengiktirafan sesiapa, dan lebih-lebih lagi bukan sebagai alat tawar-menawar untuk mendapatkan wang," menurut kenyataan KCNA.
"Kekuatan nuklear kami bertujuan untuk digunakan dalam pertempuran tanpa kompromi, bagi menghapuskan sebarang cubaan musuh yang melanggar kedaulatan negara dan keselamatan rakyat kami serta mengancam keamanan dunia," tambahnya.
Korea Utara sebelum ini tidak memberikan sebarang respons terhadap usaha Trump untuk menyambung kembali hubungan dengan pemimpinnya, Kim Jong Un, sebaliknya menegaskan hasrat untuk terus memperkukuh keupayaan nuklear negara itu.
Pada Jumaat, Trump menyatakan bahawa beliau akan meneruskan hubungan dengan Korea Utara dan Kim Jong Un selain mengakui bahawa beliau mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Korea Utara itu.
Kedua-dua pemimpin pernah mengadakan sidang kemuncak bersejarah semasa penggal pertama Trump sebagai presiden.
Dalam pada itu, Trump dan Ishiba menyatakan kebimbangan serius terhadap program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta menegaskan komitmen teguh mereka terhadap pelucutan senjata nuklear sepenuhnya di negara itu.- REUTERS