fb fb fb fb fb

Pesawat kecil terhempas di Sao Paulo, dua orang maut

Sebuah pesawat terjunam ke jalan utama di bandar Sao Paulo, Brazil pada Jumaat/ AFP

SAO PAOLO, 8 Februari- Dua orang terbunuh selepas sebuah pesawat kecil terhempas di jalan utama di ibu negara Brazil, Sao Paulo pada Jumaat.

Pesawat itu yang membawa dua orang, tergelincir ratusan meter di sepanjang laluan itu, lalu di hadapan barisan berpuluh-puluh kenderaan yang menunggu di lampu isyarat, menurut imej yang ditunjukkan dalam media tempatan.

Pesawat itu kemudiannya melanggar sebuah bas dan meletup, kata Ketua Bomba Ronaldo Melo kepada wartawan.

Juruterbang dan seorang penumpang maut dalam nahas itu, yang berlaku sejurus selepas King Air F90 berlepas dari Lapangan Terbang Campo de Marte, yang mengendalikan penerbangan domestik.

"Enam orang cedera", kata Melo.

Penumpang bas itu berjaya menyelamatkan diri, sebahagian daripada penumpang mengalami cedera ringan. Seorang penunggang motosikal yang lalu lalang turut terjatuh dan menerima rawatan perubatan.

Imej yang disiarkan di televisyen tempatan menunjukkan kepulan asap tebal, namun anggota bomba segera mengawal kebakaran.

Pegawai Penyiasat berada di lokasi kejadian, mengambil gambar dan menemu bual orang yang menyaksikan nahas pesawat untuk mendapatkan maklumat kemalangan itu.

Brazil telah mengalami beberapa nahas pesawat kecil dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut statistik dari Pusat Penyiasatan dan Pencegahan Kemalangan Aeronautik (CENIPA), terdapat 20 kemalangan pesawat pada Januari serta lapan orang terbunuh, terutamanya melibatkan pesawat pertanian dan pesawat persendirian.

Pada 2024, negara itu merekodkan jumlah nahas pesawat tertinggi dalam tempoh 10 tahun terakhir, dengan 175 kemalangan dan 152 kematian.

Ogos lalu, Brazil mengalami tragedi udara paling tragis dalam tempoh 17 tahun, selepas sebuah pesawat terhempas di bandar Vinhedo di Sao Paulo, mengorbankan kesemua 62 orang penumpang.-AFP

ROSLINA BINTI DIN