BRASÍLIA, 11 Februari- Mahkamah di Brazil menangguhkan sesi persekolahan bagi ribuan sekolah di selatan negara itu pada Isnin susulan gelombang haba yang dijangka mencecah 40 darjah Celsius.
Negeri Rio Grande do Sul yang lazimnya beriklim lebih sederhana berbanding wilayah utara kini berdepan suhu panas melampau selepas dilanda banjir besar tahun lalu yang mengorbankan lebih 180 nyawa.
Penangguhan sesi persekolahan selama seminggu dibuat atas permintaan kesatuan guru yang mengadu mengenai kekurangan pengudaraan baik serta sumber air mencukupi untuk pelajar.
"Selaras dengan keputusan Mahkamah Kehakiman Negeri Rio Grande do Sul, sesi persekolahan di 2,320 sekolah dalam rangkaian negeri akan ditangguhkan pada Isnin," menurut sekretariat pendidikan dalam kenyataan.
Penangguhan itu menjejaskan kira-kira 700,000 pelajar.
Kerajaan negeri telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah dan berharap sekolah dapat dibuka semula sebelum 17 Februari.
"Kerajaan tempatan sedang membangunkan model sekolah lebih berdaya tahan dan boleh menyesuaikan diri dengan perubahan iklim menerusi penambahbaikan infrastruktur," tambah kenyataan itu.
Institut Meteorologi Kebangsaan Brazil meramalkan suhu mencecah 40 darjah Celsius serta mengeluarkan amaran merah bagi beberapa kawasan di negeri berkenaan.
Brazil berdepan pelbagai fenomena cuaca ekstrem dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk banjir, kemarau dan kebakaran besar yang dikaitkan dengan perubahan iklim. -AFP