fb fb fb fb fb

Venezuela bawa pulang rakyat tanpa dokumen di AS

Sebahagian migran tanpa dokumen sah menaiki pesawat Conviasa untuk penerbangan ke Venezuela di El Paso, Texas pada Isnin dengan disaksikan oleh Duta Khas Presiden untuk Misi Khas, Richard Grenell/Reuters

CARACAS, 11 Februari- Venezuela menghantar dua pesawat pada Isnin untuk membawa pulang hampir 200 rakyatnya yang tidak memiliki dokumen dari Amerika Syarikat (AS) dalam langkah dilihat sebagai usaha ke arah "permulaan baharu" dalam hubungan dengan Washington.

Pesawat dihantar selepas Presiden Nicolas Maduro bersetuju dengan utusan Presiden Donald Trump pada 31 Januari untuk menerima kepulangan warga Venezuela yang dihantar pulang termasuk dengan menyediakan pengangkutan sendiri.

Kerajaan Venezuela memaklumkan penerbangan pertama membawa sekitar 190 individu termasuk mereka yang disyaki mempunyai kaitan dengan geng jenayah Tren de Aragua.

"Venezuela sentiasa menegaskan sebarang pemindahan rakyatnya mesti dilakukan dengan menghormati maruah dan hak asasi manusia," menurut kenyataan Kementerian Luar Venezuela.

Sementara itu, White House menerusi platform media sosial X berkongsi gambar individu bergari menaiki pesawat Conviasa milik Venezuela dengan kapsyen: "Penerbangan pemulangan ke Venezuela telah disambung semula dengan Duta @RichardGrenell mengawasi dua penerbangan pertama. Jadikan Amerika selamat semula."

Maduro sebelum ini menyuarakan harapan agar langkah berkenaan membawa kepada hubungan lebih baik dengan Washington yang tidak mengiktirafnya sebagai presiden sah selepas pilihan raya 2024 yang didakwa tidak bebas dan adil.

Caracas telah memutuskan hubungan dengan Washington sejak 2019 selepas Trump mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai "presiden sementara."

Namun, meskipun berdepan tekanan antarabangsa, Maduro terus mengukuhkan cengkaman kuasanya.

Pada penggal keduanya bermula bulan lalu, Trump bertindak menarik balik perlindungan kepada kira-kira 600,000 rakyat Venezuela di AS menyebabkan ramai berisiko dihantar pulang ke negara asal.

Pentadbiran Trump turut menegaskan AS tidak memerlukan minyak Venezuela dalam dasar tenaga semasanya. "Kami tidak perlukan minyak Venezuela," menurutnya. -AFP

SITI AISHAH MD ISA