TENERIFE, 11 Februari- Seekor ikan pemancing laut dalam atau lebih dikenali sebagai 'Anglerfish' yang jarang ditemui di perairan cetek dikesan berhampiran pantai Tenerife, Kepulauan Canary di Lautan Atlantik baru-baru ini.
Penemuan luar biasa itu diumumkan oleh Condrik Tenerife, sebuah organisasi penyelidikan dan pemuliharaan spesies jerung serta pari di rantau berkenaan.
Menurut Condrik Tenerife, ikan berkenaan dikenal pasti sebagai spesies 'humpback anglerfish' sejenis 'black seadevil' yang lazimnya hidup pada kedalaman sehingga 1,500 meter di dasar laut.
Ikan berkenaan bergantung kepada daya tarikan bioluminesens yang terdapat pada tubuhnya bagi memikat mangsa di habitat gelap dan dalam.
Bioluminesens merujuk kepada keupayaan organisma hidup seperti sesetengah ikan laut dalam, obor-obor dan serangga seperti kelip-kelip untuk menghasilkan dan memancarkan cahaya sendiri melalui tindak balas kimia dalam tubuh mereka.
Bagi ikan pemancing laut dalam, bioluminesens digunakan untuk menarik mangsa di persekitaran gelap di dasar laut.
"Sehingga kini, rekod penemuan spesies ini kebanyakannya melibatkan larva, bangkai ikan dewasa atau spesimen yang ditemui dalam ekspedisi saintifik menggunakan kapal selam di dasar laut," menurut kenyataan Condrik Tenerife. -Reuters