fb fb fb fb fb

Program Makanan Dunia: AS tamatkan sekatan sumbangan makanan

Foto Reuters

NEW YORK, 11 Februari – Amerika Syarikat (AS) menamatkan sekatan ke atas sumbangan makanan kepada Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sekali gus menamatkan penggantungan yang menyebabkan lebih 500,000 tan metrik makanan tertangguh dalam perjalanan atau sedia untuk dihantar.

WFP dalam satu hantaran di platform X pada Ahad mengesahkan bahawa sekatan terhadap bantuan makanan dalam bentuk barangan yang dibeli daripada petani AS dengan dana Title II telah dibatalkan.

Keputusan itu membolehkan pembelian dan penghantaran makanan diteruskan di bawah perjanjian sedia ada dengan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID).

Sebelum ini, Washington menghentikan pembelian komoditi petani AS untuk didermakan, walaupun terdapat pengecualian bagi bantuan makanan kecemasan.

Tindakan tersebut dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, menghentikan semua bantuan asing selama 90 hari bagi menilai kesesuaiannya dengan dasar luar "America First".

Selain itu, kerajaan AS turut mengarahkan WFP supaya menghentikan kerja-kerja berkaitan puluhan geran yang dibiayai AS.

Arahan tersebut diterima hanya lima hari selepas Setiausaha Negara, Marco Rubio, mengeluarkan pengecualian bagi bantuan makanan.

Antara geran yang digantung termasuk program Food for Peace Title II, yang diperuntukkan kira-kira AS$2 bilion setiap tahun untuk sumbangan komoditi AS.

Program itu, yang menjadi tunjang utama bantuan makanan antarabangsa AS, ditadbir bersama oleh Jabatan Pertanian AS dan USAID.

Geran USAID yang dihentikan bernilai puluhan juta dolar dan memberi manfaat kepada beberapa negara miskin seperti Yaman, Republik Demokratik Congo, Sudan, Sudan Selatan, Republik Afrika Tengah, Haiti, dan Mali.

Keputusan pentadbiran Trump untuk mengurangkan dan menyusun semula bantuan luar AS tanpa garis panduan yang jelas telah menimbulkan kekeliruan.

Pegawai kemanusiaan menyatakan mereka terpaksa menilai sendiri sama ada sanggup mengambil risiko kewangan bagi meneruskan program tanpa kepastian termasuk dalam pengecualian yang diberikan.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Isnin, Pejabat Inspektor Jeneral USAID mendedahkan bahawa ketidakpastian tersebut menyebabkan lebih AS$489 juta bantuan makanan di pelabuhan, dalam transit, dan di gudang berisiko mengalami pembaziran, keperluan penyimpanan tidak dijangka, serta kemungkinan penyimpangan.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kakitangan USAID mengenal pasti lebih 500,000 tan metrik makanan yang sedang dalam perjalanan atau sedia dihantar bawah program Title II.

"Oleh kerana sumber pembiayaan ini tidak termasuk dalam pengecualian bantuan makanan kecemasan oleh Setiausaha Negara, komoditi ini terperangkap dalam ketidakpastian, mendedahkannya kepada risiko pembaziran, keperluan penyimpanan tidak dijangka, dan kemungkinan penyimpangan," menurut laporan itu.

Jabatan Negara AS bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN