GUATEMALA CITY, 11 Februari- Sekurang-kurangnya 55 orang maut apabila sebuah bas merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam gaung di Guatemala pada Isnin, menjadikannya antara nahas jalan raya terburuk di Amerika Latin dalam beberapa tahun.
Bas membawa kira-kira 70 penumpang itu jatuh ke dalam sungai tercemar di sini menyebabkan operasi menyelamat berdepan kesukaran.
Pejabat Pendakwa Raya memaklumkan 53 mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital San Juan de Dios.
Presiden Guatemala Bernardo Arevalo menzahirkan rasa dukacita atas tragedi tersebut dan mengisytiharkan tempoh berkabung negara.
Menurut Jabatan Bomba, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan kecil dan jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.
Menteri Komunikasi, Miguel Angel Diaz berkata siasatan awal mendapati bas tersebut berusia 30 tahun tetapi masih memiliki lesen operasi.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan bas membawa lebihan penumpang.
Nahas jalan raya dengan jumlah korban tinggi sering berlaku di Amerika Tengah dan Selatan.
Pada 2018, seramai 52 orang maut di Peru apabila sebuah bas terjunam dari tebing ke pantai di utara Lima, manakala 54 orang terbunuh dalam nahas bas pelancong di Brazil pada 2015. -AFP