fb fb fb fb fb

Mpox: Jokowi arah tingkat pemantauan menjelang Forum Indonesia-Afrika

Joko Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi/AFP

JAKARTA, 27 Ogos- Presiden Indonesia Joko Widodo mengeluarkan arahan untuk memantau lebih ketat di pintu masuk antarabangsa bagi mencegah penularan mpox menjelang Forum Indonesia-Afrika bulan depan.

Presiden yang juga dikenali sebagai Jokowi menggesa semua kementerian dan agensi berkaitan untuk mengukuhkan langkah pencegahan bagi perwakilan yang tiba dari Afrika berikutan peningkatan ketara dalam kes mpox di Congo.

"Pemantauan yang dipertingkatkan adalah penting di semua pintu masuk antarabangsa, bukan hanya di Bali," katanya semasa mesyuarat Kabinet di Istana Merdeka pada Selasa.

Arahan Jokowi menekankan pendekatan proaktif terhadap kesihatan awam, menggunakan pengajaran daripada pandemik COVID-19 untuk memastikan protokol kesihatan yang kukuh dilaksanakan.

Forum Indonesia-Afrika kedua yang dijadualkan berlangsung di Bali dari 1 hingga 3 September dijangka menarik 1,500 peserta dari 51 negara termasuk 22 dari Afrika.

Kementerian Kesihatan Indonesia merekodkan 88 kes cacar monyet clade IIb di negara itu dari 2022 hingga kini, dengan 74 kes direkodkan pada 2023 dan 14 setakat tahun ini.

Sebagai tindak balas, kementerian sedang menyediakan 4,450 dos vaksin mpox. -BERNAMA

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA