MANILA, 26 Ogos- Filipina telah mengesahkan dua lagi jangkitan virus cacar monyet yang turut dikenali sebagai mpox.
Menurut Menteri Kesihatan, Teodoro Herbosa, ia menjadikan jumlah kes aktif di negara tersebut sebanyak tiga kes.
"Kami terus memantau penularan tempatan cacar monyet di Filipina, terutamanya di Manila," katanya menerusi kenyataan.
Kes baharu yang disahkan melibatkan seorang lelaki berusia 37 tahun dari Manila yang mengalami ruam pada anggota badannya minggu lepas dan telah dipindahkan ke hospital awam.
Seorang lagi mangsa berusia 32 tahun dari Manila turut mengalami ruam pada anggota badan.
Filipina mengumumkan minggu lepas bahawa pihaknya telah mengesan satu kes virus cacar monyet pada seorang lelaki berusia 33 tahun tanpa sejarah perjalanan ke luar Filipina.
Penambahan kes berkenaan menjadikan Filipina mencatat 12 kes cacar monyet sejak Julai 2022.- AFP